Ketika rata-rata berpendapat Johann Zarco sebagai calon sesuai untuk menggantikan Jorge Lorenzo di Repsol Honda musim depan, Aleix Espargaro berpendapat sebaliknya.
Pelumba Aprilia Racing, Espargaro berpendapat Alex Marquez sebagai calon yang lebih baik untuk digandingkan dengan Marc Marquez musim depan.
“Jika Honda membuat keputusan untuk mengambil Alex, saya rasa itu keputusan yang baik.
“Saya akan melakukan perkara sama jika saya diberikan peluang untuk membuat pilihan. Alex merupakan juara Moto2 dan sudah tentu Marc akan gembira apabila digandingkan dengan adiknya,” katanya.
Bagi Espargaro, Zarco tidak layak untuk menunggang jentera Honda.
“Jika Zarco dianggap sebagai calon yang layak menunggang jentera Honda, saya dan Pol (Espargaro) sepuluh kali lebih layak!
“Jadi jika mereka memilih Alex selaku juara dunia Moto2, saya rasa dia memang layak,” tambahnya.
Difahamkan, Honda sedang mempertimbangkan keputusan untuk menandatangani (Alex) Marquez berbanding Zarco susulan insiden yang berlaku di kem KTM.
KTM sebelum ini bersetuju dengan permintaan Zarco agar kontraknya ditamatkan setahun lebih awal namun pelumba Perancis itu kemudiannya membuat kejutan apabila membuat keputusan untuk meninggalkan KTM lebih awal dari ditetapkan.
“Sikap Zarco tidak profesional. Aprilia mengetahui berapa kali saya menangis musim lalu dan berapa kali saya menangis musim ini tetapi ini adalah tanggungjawab kami.
“Ramai pihak yang telah melaburkan masa dan wang ke dalam projek ini jadi untuk mana-mana pelumba membuat kenyataan ‘This bike is shit, I go home’ membuktikan bahawa dia tidak layak untuk mendapat jentera terbaik dalam saingan MotoGP,” tegasnya.
Sekiranya Alex (Marquez) sah sertai abangnya di Repsol Honda, Zarco dikhabarkan akan mengisi kekosongan di Marc VDS Moto2.