Ketika Benelli melancarkan Leoncino 500 dan 250 di Malaysia, ramai yang menghamburkan komen positif terutamanya daripada aspek rekaan yang mencerimkan motosikal jenis cafe racer/scrambler.
Meskipun pada masa sama terdapat pihak yang skeptikal dengan ketahanan dan kemampuan enjin yang dihasilkan Benelli namun pengeluar motosikal Itali itu memadam kritikan tatkala Leoncino Trail 500 berjaya menamatkan perlumbaan di Rimba Raid 2019 yang berlangsung di Janda Baik, Julai lalu.
Kali ini, Benelli memperkenalkan Leoncino versi baharu dengan enjin 800cc di EICMA 2019 dengan dua varian dilancarkan, Leoncino 800 dan Leoncino Trail 800.
Mengekalkan rekaan ikonik Leoncino dengan tema retro dan sentuhan minimalis namun varian baharu ini tampil lebih garang dan aura sebuah scrambler.
Enjin dua silinder (tapi bunyi macam empat silinder) 754cc ini menghasilkan 81.6hp pada 9,000rpm dan 67Nm pada 6,500rpm yang kemudiannya disalurkan menerusi transmisi enam kelajuan dengan bantuan slipper clutch.
Leoncino 800 ini turut didatangkan dengan fork USD Marzocchi dan penyerap hentakan belakang dengan preload boleh laras.
Menariknya, model ini turut dilengkapi dengan kaliper brek Brembo empat piston di bahagian depan dan kaliper dua piston di bahagian belakang sementara tayar 17 inci mengisi bahagian depan dan belakang.