EICMA 2019: Kymco RevoNEX Masuk Pasaran 2021, 0-100km/j Hanya 3.9 Saat!

Peneraju motosikal skuter, KYMCO, mencuri tumpuan di EICMA 2019 apabila memperkenalkan KYMCO RevoNEX, sebuah jentera elektrik yang bakal menandakan hala tuju baharu syarikat itu di masa depan.

Selepas melakukan perkara sama di EICMA 2018 dengan SuperNEX, fasa baharu dalam pembangunan motosikal elektrik oleh KYMCO selepas ini akan dipacu RevoNEX.

Ketika SuperNEX didedahkan tahun lalu, ramai yang terkejut dengan pendekatan berani pengeluar berpangkalan di Taiwan itu dalam menceburi segmen motosikal elektrik dengan memperkenalkan enjin elektrik dengan transmisi enam kelajuan dan rekaan futuristik.

Bagaimanapun, tidak seperti SuperNEX yang merupakan jentera konsep, RevoNEX bakal memasuki pasaran dunia pada 2021.

Meskipun tiada maklumat rasmi mengenai jentera baharu itu, KYMCO mendedahkan bahawa RevoNEX mencapai kelajuan 0-100km/j di bawah 3.9 saat dan 0-200km/j di bawah 8.7 saat!

Walaupun, modul perniagaan KYMCO bergantung sepenuhnya terhadap segmen skuter dan ATV namun RevoNEX menandakan arah tuju baharu bagi segmen motosikal berprestasi tinggi.