Diinspirasikan Oleh RC213V, Honda CBR1000RR Fireblade 2020 Didedahkan – 217hp, 113Nm!


Meskipun terdapat ura-ura yang mengatakan Honda CBR1000RR Fireblade akan muncul dengan enjin V4 sepertimana yang terdapat pada jentera RC213V namun model baharu itu masih mengekalkan enjin empat in-line bagi 2020.

Bagaimanapun, jentera baharu ini difahamkan lahir menerusi kerjasama rapat dengan Honda Racing Corporation (HRC).

Jentera baharu ini menghasilkan 217hp pada 14,500rpm dan 113Nm pada 12,500rpm lebih tinggi berbanding model SP sedia ada.

Bagi memastikan prestasi enjin kekal efisien, Honda mendakwa telah menggunakan aspek teknikal yang terdapat pada jentera MotoGP mereka.

Pada masa sama, model baharu ini lebih besar berbanding model terdahulu namun dengan bantuan HRC, setiap bahagian piston adalah 5 peratus lebih ringan.

Menariknya, bagi memastikan suhu enjin terkawal, penggunaan sistem multi-point dan multi-directional semburan minyak hanya beroperasi ketika berada dalam rpm tinggi. Apabila berada rpm rendah, saluran minyak ditutup bagi memastikan tekanan minyak berada di tahap optimum.

Sementara itu, penggunaan kerangka aluminium dan swingarm yang lebih panjang diinspirasikan daripada rekaan RC213V-S.

Model standard menggunakan fork Big Piston (BPF) Showa 43mm dan penyerap hentakan belakang Showa Balance Free Rear Cushion Light (BFRC-L) boleh laras) serta kaliper brek empat piston oleh Nissin manakala versi SP menggunakan fork depan Ohlins NPX 43mm dan Ohlins Object Based Tuning generasi kedua bagi mengawal tetapan depan dan belakang.

Versi SP turut mengguna pakai kaliper brek Brembo Stylema empat piston sementara model standard didatangkan dengan kaliper brek Nissin.

Sistem aerodinamik yang terdapat pada jentera MotoGP Honda turut dipinjamkan ke Fireblade baharu dengan penggunaan winglet.

Nak tahu lebih lanjut mengenai jentera baharu ini? Mungkin Marc Marquez boleh jelaskan.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]