Gemar Menyendiri, 87 Peratus Rakyat Malaysia Pilih Pandu Sendiri Ke Tempat Kerja

Percaya atau tidak majoriti rakyat Malaysia lebih gemar memandu sendiri ke tempat kerja.

Berdasarkan kajian yang dijalankan Governance and Political Studies (Cent-GPS), lebih 87 peratus penduduk di Lembah Klang lebih gemar memandu kenderaan sendiri berbanding menaiki pengangkutan awam atau berkongsi kereta (carpool).

Angka tersebut meletakkan Malaysia antara yang tertinggi di dunia mengatasi Amerika Syarikat (66 peratus) dan Sepanyol (56 peratus).

Kajian tersebut melibatkan hampir 5,000 responden yang memandu kereta untuk ke Ampang, Seri Kembangan, Sungai Buloh dan Petaling Jaya dari 23 hingga 25 Oktober ketika waktu puncak di lebuhraya bertol.

Ini bermakna hanya 13 peratus yang pergi ke tempat kerja dengan berkongsi kereta.

Menurut laporan New Straits Times (NST), harga minyak serta tol yang berpatutan menjadi penyumbang utama terhadap penduduk di Lembah Klang untuk tidak berkongsi kereta atau menggunakan pengangkutan awam.

Bagaimanapun, golongan B40 akan terkesan sekiranya harga minyak dan tol dinaikan bagi mengawal jumlah kenderaan di atas jalan raya.

Kajian tersebut turut mendapati memandu sendiri ke tempat kerja mendatangkan ketenangan dan privasi terhadap pemandu di samping dapat mendengar lagu pilihan tanpa ‘gangguan’ rakan sekerja.

Pada masa sama, Cent-GPS turut menggesa kerajaan agar tidak memansuhkan tol atau meneruskan subsidi petrol.

“Tol perlu dilihat sebagai fungsi untuk mengurangkan jumlah kenderaan di atas jalan raya,” jelasnya.

(SUMBER: NST)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.