Mercedes AMG GT R Dan GT C Kini Di Malaysia – Harga Dari RM1.5 juta

Sebut sahaja AMG, ramai yang boleh menjangka apakah yang ditawarkan Mercedes. Sejak diperkenalkan lima tahun lalu, AMG GT tidak pernah gagal dalam mencapai taraf pemanduan baharu yang terhasil daripada DNA perlumbaan.

Timbalan Presiden, Penjualan dan Pemasaran Mercedes-Benz Malaysia, Michael Jopp, menyifatkan AMG GT R dan GT C sebagai jentera yang mencerminkan identiti Mercedes.

“Tampak brutal, berkuasa dan tangkas dan ciri ini sahaja sudah cukup untuk melambangkan Mercedes AMG. Meskipun baru sahaja dilahirkan beberapa tahun lalu namun model ini tidak pernah gagal mencuri perhatian peminat kereta sport,” jelasnya.

Enjin

Nadi Mercedes AMG GT R didatangkan dalam bentuk AMG 4.0 liter V8 turbo yang mampu menghasilkan 585hp dan 700Nm tork yang kemudiannya disalurkan menerusi transmisi tujuh kelajuan SPEEDSHIFT DCT.

AMG GT R hanya memerlukan 3.6 saat untuk merekodkan 0 hingga 100lm/j dengan kelajuan maksima mencecah 318km/j.

Tidak hairanlah, AMG GT R diberi jolokan sebagai ‘The Beast Of Green Hell’ apabila mencatat 7:10.9 minit di Nurburgring Nordschleife.

Sementara itu GT C – yang digerakkan dengan enjin sama – menghasilkan 557hp dan 680Nm tork dan hanya dibezakan satu saat dengan GT R dalam perlumbaan 0-100km/j.

Rekaan

Bahagian depan yang rendah dengan rekaan gril yang didakwa Mercedes diinspirasikan daripada muncung ikan jerung meningkatkan lagi aliran udara sejuk lantas menjaminkan prestasi enjin kekal efisien.

Menariknya, ketika memandu pada kelajuan 80km/j menggunakan mod RACE, komponen gentian karbon – dengan berat hanya 2 kilogram – yang berada di bawah jentera akan bergerak 40 milimeter ke bawah bagi mengubah aliran udaran.

Ciri ini membuatkan AMG GT R dapat dikendalikan dengan lebih mudah terutamanya ketika menyelusuri selekoh.

AMG GT meneruskan kesinambungan penggunaan lampu LED berprestasi tinggi seperti yang terdapat pada GT 4-pintu coupe.

Bumbung gentian karbon dengan kaliper berwarna kuning menyerlahkan lagi DNA perlumbaan pada AMG GT R sementara AMG GT C didatangkan dengan sunroof panaromic dengan kaliper berwarna merah.

Kedua-dua AMG GT R dan GT C dilengkapi dengan paparan digital 12.3 inci dan 10.25 inci bagi sistem hiburan di tengah-tengah konsol.

Sementara itu, Mercedes Benz turut menawarkan Pakej Litar AMG bagi AMG GT R yang terdiri daripada:

  • sistem perlindungan roll-over
  • tali pinggang empat-poin
  • pemadam api 2kg

Mercedes Benz AMG GT R ditawarkan dengan harga RM1,712,888 sementara GT C, RM1,558,888.

Bagi yang meminati jentera yang berinspirasikan litar lumba ini hubungi 1-800-88-1133 atau hadir ke Mercedes-Benz Autohaus terdekat.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply