Terima Tawaran Honda, Peluang Sertai Yamaha Ditutup – Zarco

Sumber: LCR_Team @ Twitter

Bekas pelumba KTM, Johan Zarco, mengakui peluang untuk menjadi ‘test ride’ untuk Yamaha telah tutup selepas dia menerima tawaran untuk menggantikan Takaaki Nakagami di LCR Honda.

Zarco bakal mewakili Honda untuk baki tiga perlumbaan MotoGP musim ini selepas pelumba Jepun itu perlu direhatkan untuk menjalani proses pemulihan dari kecederaan.

Pelumba Perancis itu sebelum ini telah pun mengadakan perbincangan dengan Yamaha namun menerima tawaran Honda untuk menggantikan Nakagami.

Zarco akui menyedari menerima tawaran Honda bermakna dia menutup peluang untuk menjadi penunggang uji Yamaha.

“Peluang itu sudah tutup. Honda dan Yamaha mempunyai pesaingan sengit. Saya telah bercakap kepada dua belah pihak sebelum membuat keputusan ini.

“Saya memilih untuk menjadi pelumba LCR Honda untuk baki tiga perlumbaan ini,”jelasnya.

Sementara itu, Zarco tidak gusar untuk menggantikan Nakagami meskipun menyedari RC213V memiliki reputasi sebagai jentera yang sukar untuk dijinakkan.

“Mereka memanggil saya bukan untuk memenangi tiga perlumbaan ini tetapi kerana saya sahaja yang ada kelapangan.

“Bagi saya, jika saya tidak dapat menggunakan jentera ini dengan efisien, ini bermakna saya tiada tempat di MotoGP.

“Mereka berikan saya tiga peluang jadi saya akan berikan segalanya. Saya mengambil risiko besar meninggalkan KTM,” tambahnya.

(SUMBER: Motorsport.com)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.