Berdepan Masalah Mengecas, Harley-Davidson Berhentikan Pengeluaran LiveWire

Harley-Davidson membuat keputusan untuk menghentikan pengeluaran motosikal elektriknya pertamanya, LiveWire, untuk sementara waktu susulan berdepan masalah dengan sistem pengecas jentera tersebut.

Menurut laporan The Wall Street Journal, Harley-Davidson memaklumkan bahawa LiveWire masih selamat untuk ditunggang namun menasihatkan beberapa pemilik untuk mengecas jentera bernilai USD30,000 itu di pengedar rasmi buat masa ini.

Projek LiveWire pernah diperkenalkan sebagai jentera konsep pada 2014 namun kemudiannya menyepi tanpa khabar berita sebelum Harley-Davidson memperkenalkan kembali jentera tersebut pada November 2018.

LiveWire merupakan projek berani Harley-Davidson dalam mengorak langkah baharu tatkala mendakwa jentera elektrik itu mensasarkan golongan muda – meskipun berharga USD10,000 lebih tinggi daripada jentera elektrik lain dalam pasaran.

“Kami telah pun menyerahkan ‘batch’ pertama LiveWire kepada para pengedar rasmi. Bagaimanapun, ketika proses semakan kualiti terakhir kami mendapati terdapat anomali terhadap sistem pengecas.

“Kami membuat keputusan untuk memberhentikan pengeluaran dan penghantaran buat sementara waktu bagi melakukan analisis terperinci. Bagaimanapun, LiveWire masih selamat untuk ditunggang,” jelas Harley-Davidson dalam satu kenyataan.

LiveWire telah pun diedar kepada beberapa pemilik awal September lalu.

(SUMBER: The Wall Street Journal)

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]