Muncul Juara Dikalangan 700 Peserta, Mohd Shahril Bawa Pulang RM20,000

Seramai 40 peserta berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir Kejuaraan Velocity E-Sport Toyota Gazoo Racing (GR) yang menyaksikan Mohd Shahril Bin Nindar muncul juara.

Shahril berjaya mengetepikan pencabar lain meskipun mengakui bergelut susulan masalah teknikal yang berlaku ketika perlumbaan.

“Kejuaraan Velocity E-Sport Toyota Gazoo Racing sememangnya acara yang mengujakan dan saya gembira kerana dapat terlibat dengan kejohanan ini.

“Tetapi bukan mudah untuk bersaing dengan 10 pelumba e-sport di Malaysia. Saya amat berbesar hati kerana dapat muncul juara meskipun berdepan masalah teknikal.

“Saya berjaya menang kerana mengutip mata tertinggi,” jelasnya.

Berlangsung di Pavilion, Kuala Lumpur, Kejuaraan Velocity E-Sport Toyota Gazoo Racing merupakan acara perlumbaan e-sport terbesar di Malaysia dengan bantuan UMW Toyota Motor yang muncul selaku syarikat automotif pertama yang menyokong perkembangan sukan e-sport sejak tahun lalu.

Penganjuran kali ini diteruskan selepas acara sulung tahun lalu mendapat sambutan hangat dikalangan pemain e-sport.

Pusingan kelayakan kali ini menyaksikan lebih 700 peserta berentap di pusingan kelayakan yang berlangsung di Cove ESport Hub, Bandar Sunway pada 31 Ogos hingga 15 September.

Selaku juara Shahril membawa pulang RM20,000 diikuti Muhammad Uzair Bin Abdul Nasir (RM10,000), dan Mohammad Afif Bin Suhaimi (RM5,000).

Sementara itu, Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K, menyifatkan penglibatan Toyota dalam sukan e-sport adalah konsep ideal untuk mempamerkan imej mereka yang berlainan.

“Di dalam era digital kini, tidak hairan sukan elektronik atau ESport menjadi sebuah industri
yang semakin pesat berkembang, tidak hanya di Malaysia tetapi juga diperingkat global.

“Ia menawarkan keterujaan yang sangat dekat dengan jiwa generasi yang membesar di dalam zaman digital ini yang akrab dengan permainan video serta simulator perlumbaan.

“Untuk itu, penglibatan Toyota di dalam ESport melalui Gazoo Racing dirasakan satu cara yang ideal kepada jenama ini untuk mempamerkan sisi sporty dan dinamiknya.

“Tahun lalu, kami berasa sangat gembira dengan sambutan yang diterima daripada khalayak terhadap
penganjuran kali pertama acara berkenaan. Dan, tahun ini ia menjadi bertambah meriah,” jelasnya.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.