Moto2: Dixon Sertai Petronas Sprinta, Hafizh Ke Angel Nieto?

Jake Dixon bakal menggalas cabaran di saingan Moto2 musim depan bersama pasukan Petronas Sprinta Racing.

Menurut laporan Crash.net, pelumba berusia 23 tahun itu akan digandingkan dengan Xavi Vierge sekaligus menyaksikan Khairul Idham Pawi bakal kembali ke Moto3 dan bersaing bersama John McPhee.

Difahamkan, Dixon telah menandatangani kontrak dua tahun bersama Angel Nieto tahun lalu namun pasukan itu menjelaskan bahawa kontrak tersebut adalah ‘satu (tahun) tambah satu (tahun).

Hakikat itu menyebabkan Dixon dan pengurusnya mengadakan perbincangan dengan Petronas Sprinta untuk mengesahkan tempatnya bersama pasukan baharu bagi musim depan.

Sementara itu, senario ini sedikit sebanyak menjelaskan bahawa Hafizh Syahrin tidak akan kembali menyertai Petronas Sprinta di Moto2.

Sebelum ini, Hafizh dikaitkan dengan Petronas Sprinta tatkala namanya disenaraikan bersama Xavi Vierge dalam satu senarai pelumba Moto2 bagi musim 2020 yang dikongsikan motorsport.com.

Bagaimanapun, kini timbul dakwaan bahawa pelumba negara itu bakal mengisi kekosongan ditinggalkan Dixon di Angel Nieto, musim depan.

(SUMBER: Crash.net)

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]