Poncharal Mahu Miguel Oliveira Kekal Di Tech3 Bagi Musim 2020

Sumber: Miguel Oliveira @ Twitter

Keputusan mengejut oleh Johann Zarco untuk meninggalkan pasukan KTM hujung musim ini mencetuskan persoalan, siapa yang bakal menjadi penggantinya bagi musim 2020?

Tatkala rata-rata pelumba lain telah pun terikat, timbul dakwaan bahawa slot Zarco akan diisi pelumba muda Tech3, Miguel Oliveira.

Pelumba Portugal itu tampak sebagai calon terbaik apatah lagi secara tidak langsung memiliki kontrak bersama KTM di Tech3.

Bagaimanapun, sekiranya senario itu direalisasikan pastinya akan memeningkan kepada pengurus Tech3, Herve Poncharal, yang tidak sabar menyaksikan gandingan Oliveira dan Bradn Binder musim depan.

“Saya sangat teruja dan bangga kerana kami memiliki gandingan terbaik bagi musim depan.

“Miguel (Oliveira) seorang pelumba yang hebat. Saya sudah mengenalinya untuk beberapa tahun dan dia seorang yang baik.

“Keputusan yang dilakar di Austria cukup membanggakan kerana meskipun tidak mendapat pakej yang mantap dia masih mampu mencatat keputusan baik. Saya anggap dia sebagai seorang hero.

“Miguel dan Brad (Binder) pernah sepasukan sebelum ini tetapi saya dapat berasakan saingan sengit bakal ditampilkan kedua-dua pelumba ini.

“Ketika saya sedang membayangan segala kemungkinan yang boleh dicapai dengan gandingan Miguel dan Brad tiba-tiba boom! Zarco membuat pengumuman mengejutkan itu!” jelas Poncharal.

Poncharal telah ditanyakan tentang masa depan Oliveira berkali-kali dan ketika ini soalan itu merupakan pertanyaan wajib di setiap sidang media.

Bagaimanapun, dia boleh menarik nafas lega takala pengurus KTM, Stefan Peirer, juga tidak bercadang untuk ‘mencuri’ Oliveira dari Tech3.

“Saya mahu Miguel (Oliveira) kekal disini tetapi banyak perkara boleh berubah menuju November.

“Kalau boleh saya mahu Miguel dan Brad bergandingan musim depan tetapi kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku selepas perbincangan,” tambahnya.

Terdahulu, Oliveira akui dia tertarik untuk berhijrah ke KTM seandainya peluang itu hadir.

(SUMBER: Crash.net)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.