Bengkel ‘Heels & Wheels’ Padam Stigma Terhadap Wanita Di Jalan Raya

 

Sempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan, Bosch Automotive Aftermarket Malaysia (Bosch AA) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat  (KPWKM) dengan sokongan daripada PROTON, Petron dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) telah meganjurkan bengkel penyelenggaraan kereta bagi wanita. 

Objektif utama bengkel ini adalah untuk memperkasakan wanita dengan ilmu untuk menjaga kenderaan serta keselamatan diri sendiri dan anak-anak.

Dilancarkan oleh Timbalan KPWKM, YB Hannah Yeoh, bengkel ini turut menyaksikan penglibatan lebih 60 staf Jabatan Pembangunan Wanita.

Bengkel ini memfokuskan terhadap menyuntik ilmu penjagaan kenderaan serta kepentingan Child Restraint System (CRS) dan juga cara pemasangan yang betul.

Hannah Yeoh turut mengetengahkan kepentingan bengkel ini susulan keputusan kajian yang membimbangkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS).

“Menurut kajian oleh MIROS, 58 peratus kematian membabitkan kanak-kanak dan bayi berpunca daripada kemalangan jalan raya yang boleh dielakkan dengan penggunaan kerusi kanak-kanak.

“Jadi saya amat teruja kerana bengkel ini memfokuskan terhadap kepentingan penjagaan kenderaan termasuk penggunaan CRS yang akan diwajibkan bermula tahun depan.

“Penggunaan CRS dapat mengurangkan kadar kemalangan maut yang menyumbang kepada kematian kanak-kanak dan bayi,” jelasnya.

Sementara itu, menurut kajian Bosch AA yang dijalankan pada 2018 mendapati hanya 1 peratus wanita yang tahu apa yang perlu dilakukan ketika kereta rosak.

Bengkel ini turut menyaksikan Bosch mengajar teknik mudah kepada peserta bagi penjagaan kenderaan yang melibatkan bateri, pengelap cermin, minyak enjin dan tayar.

Pengurus Bosch Automotive Aftermarket Malaysia, Pang Yoon Kong yakin ilmu penjagaan kereta mampu merendahkan risiko kereta rosak dan kemalangan jalan raya.

“Penjagaan kereta dan keselamatan jalan raya adalah fokus utama kami kerana kami percaya dua faktor ini amat penting dalam memperkasakan golongan wanita di Malaysia.

“Sempena sambutan Hari Kemerdekaan, bengkel ‘Heels & Wheels’  akan memberi inspirasi pada wanita untuk menjaga kereta tanpa perlu bantuan daripada orang lain,” katanya.

Bengkel ini turut menyaksikan sesi penyampaian keselamatan kenderaan oleh PROTON serta Petron Malaysia dan JKJR.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply