Sejak Ducati memperkenalkan Ducati Scrambler lima tahun lalu, pengeluar motosikal Itali itu berjaya menjual lebih 55,000 unit seluruh dunia sekaligus meningkatkan lagi populariti jenama itu.
Ketika ini terdapat lapan varian Scrambler dibawah payung Ducati yang terdiri daripada Desert Sled, Icon, Cafe Racer, Full Throttle, Sixty2, 1100, 1100 Special dan 1100 Sport.
Kami di MotoMalaya berpeluang menguji beberapa jentera Scrambler antaranya Desert Sled dan Icon di Phuket, Thailand dan 1100 Sport serta 1100 Special ke Bukit Fraser, dan secara peribadi Ducati berjaya menghasilkan varian Scrambler yang benar-benar membawa identiti motosikal dua alam – on/off-road.
Bagaimanapun, menurut laporan EPA documents, Ducati bakal menambah dua lagi ahli baru dalam keluarga Scrambler – 1100 Pro dan 1100 Sport Pro – menerusi Ducati World Premier 2020 yang akan diadakan pada 23 Oktober ini menerusi strim langsung.
Ketika pencinta Ducati lain menanti pelancaran Panigale V2, Streetfigter V4 dan Multistrada V4 – dan kemungkinan Monster jika khabar angin didapati betul – penambahan dua model baharu ini akan menjadikan keluarga Scrambler kini lebih besar.
Persoalannya perlukah Ducati mengembangkan lagi keluarga Scrambler apatah lagi 1100 Sport telah pun dilengkapi dengan penyerap hentakan Ohlins, ‘traction control’ dan beberapa spesifikasi lain yang menjadikan model ini sebagai yang terbaik dalam kelasnya.
Jadi ketika ini sukar untuk membayangkan apakah perbezaan yang terdapat pada versi Pro ini, hanya Ducati World Premier 2020 yang dapat memberikan jawapan pasti.