Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Datuk Darell Liking menjelaskan bahawa kerajaan tidak menyuntik sebarang bentuk kewangan ke dalam projek kereta nasional baharu ini.
“Kereta nasional baharu ini akan direka dan dihasilkan sepenuhnya oleh jurutera tempatan dengan bantuan teknologi oleh Daihatsu,”jelasnya.
Meskipun projek tersebut dibiayai sepenuhnya oleh syarikat swasta namun Putrajaya akan tetap membantu dalam aspek perlesenan dan bantuan dalam bentuk lain.
Sementara itu, syarikat kejuruteraan tempatan DreamEDGE telah dipilih untuk menghasilkan kereta tersebut daripada langkah pertama sehinggalah ke pengeluaran secara besar-besaran.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif DreamEDGE, Khairil Adri Adnan menjelaskan proses pengeluaran tidak akan dilakukan pihaknya secara langsung.
“Kami tidak akan membina kilang untuk menghasilkan kereta ini sebaliknya, dengan fasiliti sedia ada kami akan melaksanakan proses pengeluaran secara kontrak,” ujarnya.
Orang ramai akan disajikan dengan model prototaip seawal Mac 2020 sebelum model sebenar akan dilancarkan setahun kemudian.