Selepas merekodkan prestasi mengecewakan musim ini, pelumba veteran, Valentino Rossi menggunakan cuti sebaik mungkin untuk kembali bangkit bagi separuh kedua musim 2019 MotoGP.
Jika dibandingkan dengan rakan sepasukan, Maverick Vinales, Rossi berdepan laluan lebih berliku kerana dia masih bergelut untuk mencapai keserasian dengan jentera M1.
MotoGP akan kembali bersambung hujung minggu ini di Brno, Czech Republic, litar yang membantu Rossi merekodkan kejuaraan sulungnya dalam kelas 125 pada 1996.
Pelumba berusia 40 tahun itu telah pun merekodkan tujuh kemenangan – kali terakhir pada 2009 – dan 14 podium sepanjang kariernya di Brno lantas dia tekad bangkit di litar keramatnya hujung minggu ini.
Menurut GPOne.com, The Doctor mahu berikan tumpuan sepenuhnya selepas berminggu berehat.”
“Ketika cuti musim panas, saya mengambil masa itu untuk berehat secukupnya tetapi saya kini tidak sabar untuk kembali ke atas M1.
“Saya perlu perbaiki prestasi semasa kerana kami juga akan bersiap sedia untuk menghadapi musim 2020, bermula dengan sesi ujian pada Isnin.
“Brno merupakan antara litar kegemaran saya. Saya mahu dapatkan keputusan yang baik,” jelasnya.