BMW 8 Series Gran Coupe: Siapa Kata Kereta Coupe Tak Praktikal?

Awal bulan Mei lalu, BMW mencetuskan pelbagai tanda tanya apabila berkongsi imej ‘teaser’ yang memaparkan model BMW 8 Series Gran Coupe serba baharu.

Tanda tanya itu akhirnya terjawab apabila BMW dengan rasminya memperkenalkan model sulung BMW 8 Series Gran Coupe!

BMW 8 Series merupakan pengganti kepada model 6 Series yang telah ditamatkan pengeluaran.

Model ini sebenarnya adalah generasi kedua bagi keluarga 8 Series tetapi ini adalah keluaran sulung bagi model Gran Coupe.

Menurut BMW, 8 Series Gran Coupe merupakan satu-satunya kereta dalam segmennya yang berinspirasikan sebuah kereta coupe tidak seperti dua pencabar lain, Audi A7/S7, Mercedes-Benz CLS-Class dan Mercedes-AMG GT merupakan jentera yang lahir sebagai kenderaan empat pintu.

8 Series Gran Coupe ini merupakan kereta paling lebar dalam keluarga BMW – 1627mm depan dan 1671mm belakang.

Model ini juga adalah lebih tinggi berbanding 8 Series Coupe terutamanya di bahagian tempat duduk belakang sekaligus tampil lebih praktikal.

Bagi memberi ruang yang lebih luas dan selesa kepada penumpang, BMW 8 Series Gran Coupe didatangkan dengan bumbung kaca panoramic berukuran 1.5 meter.

Kedudukan penumpang juga lebih menegak dan lebih tinggi berbanding 8 Series Coupe sekaligus menjadikan model ini lebih praktikal dan selesa.

Kebiasaannya bagi mengejar ciri praktikal dan keselesaan, pengeluar kereta terpaksa mengorbankan rekaan yang cantik tetapi norma itu tidak berjangkit dengan 8 Series Gran Coupe kerana rupa keseluruhan model ini amat mengagumkan!

BMW Blog juga menyifatkan 8 Series Gran Coupe merupakan kereta paling cantik yang dihasilkan pengeluar dari Munich ini.

BMW 8 Series Gran Coupe akan dilancarkan dengan tujuh warna pilihan – satu bukan metalik dan enam warna metalik.

Kalau diikutkan BMW 8 Series Gran Coupe dilengkapi dengan kerusi 4+1 kerana dibahagian tempat duduk belakang ada satu kerusi kecil diantara dua kerusi penumpang. Tetapi ia terlalu kecil sehinggakan Mira Filzah pun tampak terlalu besar! Mungkin boleh menempatkan seorang budak kecil tetapi kakinya terpaksa diletakkan di atas konsol yang panjang.

Tetapi jika anda kaki beli barang di IKEA usah risau kerana kerusi bahagian belakang boleh dilipat sekaligus menawarkan ruang yang lebih besar untuk meletakkan barang.

Selain rupa cantik dan praktikal, BMW 8 Series Gran Coupe juga tampil dengan ciri kereta sport dengan penggunaan bahan lightweight. Bahagian pintu, bumper belakang, bumbung, bonet, panel depan dan rangka enjin dihasilkan dengan aluminium.

BMW M850i xDrive Gran Coupe – model perdana bagi 8 Series Gran Coupe – didatangkan dengan enin 4.4 liter turbo berkembar V8 yang menghasilkan 523hp. BMW mendakwa model ini mampu pergi 0-100km/j dibawah 3.9saat!

BMW 8 Series Gran Coupe juga didatangkan dengan varian BMW 840i dan 840d Gran Coupe.

(SUMBER: BMWBlog)

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]