Gandingan Alessandro Pier Guidi, James Calado dan Daniel Serra bagi pasukan AF Corse bersama jentera Ferrari 488 GTE berjaya merekodkan kemenangan di perlumbaan 24 jam Le Mans buat kali ke-36.
Kemenangan tersebut merupakan pencapaian ke-27 bagi Prancing Horse dengan kemenangan pertama diraih lebih 70 tahun dahulu ditangan Luigi Chinetti dan Lord Selsdon.
Ini menandakan kemenangan sulung dalam kelas GTE-Pro dai Le Mans bagi jentera 488 GTE.
Kemenangan ini merupakan kejayaan bermakna bagi pasukan AF Corse yang kali terakhir muncul juara pada edisi 2014.
Ferrari turut menaiki podium dalam kelas GTE-Am oleh pasukan JMW Motorsport yang dipandu oleh Jeff Segal, Wei Lu dan Rodrgio Baptista.
James meluahkan rasa keterujaan selepas kemenangan tersebut dan menyifatkan segala masa yang dihabiskan terhadap persiapan membuahkan hasil penuh makna.
“Kami telah bekerja dengan amat keras untuk perlumbaan ini. Dalam tempoh enam bulan ini, kami memfokuskan segalanya terhadap persiapan kerana inilah yang kami mahukan selama ini.
“Perlumbaan ini amat sukar apatah lagi berdepan beberapa isu. Kami memiliki staf yang mantap yang berjaya memenuhi kehendak kami. Mereka adalah rakan sepasukan yang hebat,” katanya.
Sementara itu, Alessandro menyifatkan kemenangan ini cukup manis buat dirinya.
“Berlumba dengan pasukan Ferrari lalu mendengar lagu Itali dinyanyikan merupakan saat yang cukup istimewa. Saya berasakan kami telah mempamerkan perlumbaan yang cukup sempurna hari ini,” ujarnya.