Gagal Patuh Piawaian FIM, Dovizioso Dan Bagnaina Beralih Ke Shoei

Sesi ujian bebas pertama di GP Catalunya menyaksikan beberapa pelumba MotoGP terpaksa menggunakan helmet jenama lain untuk sementara waktu susulan beberapa jenama helmet tajaan yang digunakan sebelum ini gagal mematuhi piawian baharu ditetapkan FIM.

Andrea Dovizioso dan Pecco Bagnaia (Suomy) serta Aleix Espargaro (KYT) antara nama besar yang terkesan.

Dovizioso dan Bagnaina terpaksa beralih ke helmet Shoei sementara Espargaro akan mengguna pakai helmet Shark. Bagaimanapun, kedua-dua helmet ini akan dicat dengan logo Suomy dan KYT.

Menurut MCN, Dovizioso tidak berdepan masalah dengan pertukaran sementara helmet tersebut,”Kami tidak menghadapi sebarang isu. Pengurus saya seorang yang baik dan kami berjaya menangani masalah ini dengan cara yang betul.”

FIM mengumumkan piawaian baharu ini lebih setahun yang lalu dengan peraturan baharu ini sepatutnya diterapkan ketika pembukaan tirai musim ini bagaimanapun ditangguh sehingga ke minggu lalu.

Setiap pengeluar helmet telah diminta untuk menghantar 10 helmet yang digunakan setiap pelumba bagi menjalani sesi ujian di makmal impak terletak di Institut Penyelidikan Kejuruteraan Aragon, Universiti Zaragoza.

Sesi ujian tersebut membabitkan beberapa siri ujian ketahanan bagi memastikan helmet digunakan adalah selamat sekaligus setiap jenama akan mendapat label kod QR yang menandakan helmet terbabit telah melepasi ujian.

AGV, Airoh, Arai, Bell, HJC, Kabuto, LS2, MT, NHK, X-Lite/Nolan, Skorpion, Shark dan Shoei telah pun melepasi piawaian FIM tersebut sementara Suomy dan KYT masih belum menghantar helmet mereka untuk menjalani sesi ujian.

(SUMBER: MCN)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.