Toyota Kekal Jenama Kereta Paling Bernilai Di Dunia

Menurut kajian yang dilaksanakan Kantar Millward Brown yang dikenali sebagai Brandz Top 100 Most Valuable Global Brands 2019, pengeluar kereta Jepun, Toyota muncul sebagai jenama automotif paling bernilai tahun ini sekaligus mengekalkan kedudukan tersebut untuk tujuh tahun berturut-turut.

Tempat kedua menjadi milik pengeluar kereta Jerman, Mercedes sementara BMW ketiga.

Terdapat pelbagai cara untuk mengukur kedudukan sesuatu jenama antaranya dengan mengambil kira hasil penjualan, keuntungan dan berapa ramai pengikut di media sosial. Bagaimanapun, bagi pengeluar kereta mereka juga perlu bijak dalam memasarkan jenama mereka kepada orang ramai.

Meskipun kajian tersebut menandakan kejayaan bagi Toyota bagi kategori automotif namun apabila dirangkumkan dengan 100 jenama lain, pengeluar kereta Jepun itu sekadar menduduki tangga ke-41, diikuti Mercedes (54) dan BMW (55).

Kesemua jenama automotif kehilangan beberapa kedudukan berbanding tahun lalu dengan Volkswagen muncul satu-satunya nama yang berjaya memperbaiki kedudukan meskipun terpalit dengan skandal Dieselgate sebelum ini. Sementara Porsche yang baru menembusi ranking tersebut berjaya mengetepikan Maruti-Suzuki.

Bukan mudah untuk jenama automotif menembusi ranking 10 terbaik dunia yang rata-rata didominasi Amazon, Apple dan Google. Jenama ini menawarkan pelbagai servis kepada orang ramai sekalgus menyukarkan jenama automotif untuk bersaing.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]