Tambahan Masa 5 Saat Menafikan Kemenangan Sulung Vettel

Sumber: StadiumAstro

Lewis Hamilton muncul pemenang di GP Kanada sekaligus mengukuhkan kedudukan dalam perebutan kejuaraan selepas tambahan masa lima saat menafikan kemenangan sulung Sebastian Vettel musim ini.

Saat penentu tersebut berlaku di pusingan ke-48 apabila Vettel – yang sedang mendahului perlumbaan – tersasar daripada litar di selekoh keempat sebelum bingkas kembali sertai perlumbaan dengan merentasi permukaan berumput.

Pegawai perlumbaan kemudiannya memutuskan untuk mengenakan tambahan masa lima saat terhadap tindakan Vettel lantas memberi peluang kepada Hamilton – yang berada di belakang – untuk muncul juara.

Ketika Vettel dimaklumkan mengenai keputusan tersebut, dia berkata,”Mereka merampas perlumbaan ini daripada saya. Saya tiada pilihan lain ketika itu dan pada masa sama saya tidak nampak dimana Hamilton berada. Saya cuma mahu kembali ke atas litar.”

Sementara itu, rakan sepasukan di Ferrari, Charles Leclerc menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga.

Ketika melepasi garisan penamat, Vettel menyampaikan kepada pasukannya, “Ini tidak adil.”

Sebaik perlumbaan berakhir, Vettel meluru ke arah pegawai perlumbaan bagi menyuarakan ketidakpuasan hatinya.

Vettel gagal memenangi sebarang perlumbaan sejak kali terakhir melakukannya Ogos tahun lalu.

Pada masa sama, keputusan mengejutkan pegawai perlumbaan turut menyebabkan para penonton yang hadir di litar meluahkan rasa tidak puas hati mereka.

(SUMBER: StadiumAstro)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.