Honda CB125X Dan CB125M Hampiri Proses Pembuatan

Apabila bercakap tentang motosikal 125cc, penekanan harus diberikan kepada reka bentuk jentera ekoran segmen tersebut lebih menarik perhatian golongan muda.

Pada masa sama, kepelbagaian alat ganti ‘aftermarket’ di pasaran antara faktor utama jentera 125cc digemari pembeli muda.

Sementara itu, jentera 125cc merupakan motosikal permulaan yang sesuai sebelum beralih ke jentera dengan enjin yang lebih besar. Meskipun enjin menjana kuasa yang agak rendah tetapi motosikal 125cc adalah jauh lebih praktikal sebagai kegunaan harian terutamanya menyelusuri kawasan bandar yang sesak.

Bagaimanapun, rata-rata jentera 125cc yang ada di pasaran tidak memaparkan reka bentuk yang menarik, sehinggalah Honda bertindak memperkenalkan CB125X dan CB125M – jentera bersesaran 125cc namun dengan reka bentuk seakan jentera lebih besar.

Meskipun rekaan konsep ini didedahkan pada EICMA 2018 namun penghasilan kedua-dua jentera ini bakal menjadi kenyataan apabila Honda telah mendaftarkan kedua-dua rekaan ini di European Patent Office.

Rekaan kedua-dua jentera ini dihasilkan oleh pasukan R&D di Roma, pasukan sama yang bertanggungjawab mereka bentuk Honda X-ADV.

Dengan golongan muda kini berebut-rebut untuk tampil lebih ‘cool’ di laman sosial, maka tidak hairanlah jentera 125cc oleh Honda ini juga disuntik dengan DNA ‘cool’ bagi menarik perhatian mereka.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.