Volkswagen Golf R dan Mercedes-AMG A35 kini berdepan saingan baharu dalam bentuk BMW 1 Series dengan model premium M135i mampu menjana 302 hp!
Sejak diperkenalkan pada tahun 2004, BMW 1 Series dilengkapi dengan ‘rear-wheel drive’ tetapi kali ini BMW mengambil langkah drastik dengan mengubah kepada platform ‘front-wheel drive’ bagi menambahbaik ruang dalam dan ciri praktikal.
Model baharu ini direka berdasarkan struktur FAAR – yang digunakan pada model X1, X2 SUV dan Mini Countryman.
Pengurus Produk BMW, Jochen Schamalholz berkata model 1 Series tetap menawarkan pemanduan dinamik meskipun selepas perubahan tersebut dilakukan.
“Kami telah bertungkus lumus dalam menghasilkan kereta yang menggabungkan dua ciri baharu namun masih dipandu seperti sebuah kenderaan BMW yang dikehendaki pelanggan kami,” jelasnya.
Antara kunci utama prestasi maksimum M135i adalah penggunaan sistem BMW xDrive all-wheel-drive.
Susulan enjin 3.0 liter enam silinder (335 hp) yang digunakan pada generasi M140i lalu tidak dapat dimuatkan ke dalam rangka FAAR, BMW bertindak melengkapkan M135i dengan enjin 2.0 liter empat silinder twin-turbo (302 hp) sepertimana yang digunakan pada model M235i Gran Coupe.
Meskipun enjin tersebut menawarkan kuasa yang lebih rendah namun BMW menegaskan enjin baharu ini tetap menawarkan pengalaman pemanduan yang setaraf – dibantu dengan chasis yang 20kg lebih ringan berbanding M140i – di samping mampu mencapai kelajuan maksima 249 km/j!
Bagi memastikan unit M135i mengekalkan pemanduan seperti model sebelumnya, model ini didatangkan dengan sistem ‘actuator-controlled wheel slip limitation'(ARB) sepertimana yang ada pada model elektrik BMW i3.
Sistem BWM Performance Control turut didatangkan secara standard sementara varian lain dilengkapi ‘multi-link rear axle’ dan sistem penyerang hentakan berupa boomerang bagi meningkatkan ketahanan.
BMW 1 Series dijangka akan dipasarkan hujung bulan ini dengan harga bermula dari GBP24,430 (RM130,214) bagi varian 118i SE sementara M135i xDrive ditawarkan pada harga GBP35,430 (RM188,845).
(SUMBER: AutoCar)