Beg Udara Aktif Secara Tiba-Tiba, Honda Panggil Semula 137 Ribu Unit CR-V

Honda memanggil semula lebih 137,000 unit CR-V setelah menerima beberapa laporan beg udara tiba-tiba diaktifkan dengan sendirinya sekaligus menyebabkan kecederaan.

Menurut laporan Reuters, Honda mendakwa bahagian wayar dan kabel sistem di bahagian stereng perlu diganti susulan laporan beg udara aktif dengan sendiri meskipun tidak terlibat dalam kemalangan.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada laporan bahawa masalah beg udara tersebut mencetuskan kemalangan.

Daripada jumlah yang dipanggil semula (137,000), 118,000 unit adalah di Amerika Syarikat, sementara baki 19,000 melibatkan CR-V di Korea dan Kanada.

Sementara itu, Honda turut memanggil semula lebih 19,000 unit kenderaan di Amerika Syarikat susulan penggantian inflator Takata tidak di pasang dengan betul sebelum Mei 2018.

Ini bukan kali pertama Honda terpalit dengan isu beg udara. Sebelum ini, pengeluar kereta Jepun itu berdepan masalah dengan penggunaan beg udara Takata pada 2013 dengan lebih 21 juta unit Honda terkesan di seluruh dunia.