Seorang wanita tidak mengendahkan larangan muzium apabila bertindak memanjat ke atas sebuah motosikal ‘rare’ yang bernilai NZD700,000 (RM1.9 juta) semata-mata untuk mengambil gambar untuk dimuat naik ke akaun Facebook.
Wanita tersebut bertindak memanjat ke atas sebuah motosikal Britten V1000 yang dipamerkan di muzium Te Papa, New Zealand, beberapa hari yang lalu.
Lebih mengejutkan dia bersama pasangannya mengendahkan orang ramai yang menegur tindakannya.
Bagaimanapun, dia dengan selamba memberi alasan bahawa pencipta motosikal terbabit, mendiang John Britten, merupakan sahabat baiknya.
Tonton video penuh di bawah:
“Dia bersikap kurang ajar. Nasib baik tiada apa-apa yang berlaku terhadap motosikal tersebut,” kata seorang pengunjung.
Sementara itu, juru cakap Te Papa, Kate Camp berkata pihaknya telah bersemuka dengan pasangan terbabit dan menggesa mereka menghormati peraturan muzium.
“Tindakan mereka bahaya dan bodoh,”kata Camp.
Britten V1000 merupakan jentera motosikal perlumbaan buatan tangan yang direka dan dihasilkan oleh John Britten bersama sahabatnya di Christchurch, New Zealand di awal 90an.
Hanya 10 motosikal dihasilkan dan salah satunya di pamerkan di muzium Te Papa.
Jentera tersebut mengguna pakai enjin 999cc V-Twin 4 strok dan mampu mencapai kelajuan 303 km/j.