Cabaran Toyota Vios: Diana, Boy Dan Brendon Muncul Juara Musim 2

Cabaran Toyota Vios Musim 2 telah sampai ke penghujungnya dengan tiga juara baharu telah pun dinobat setelah mengungguli kategori Super Sporting, Sporting dan Promotional bagi pelumba profesional, amatur dan selebriti di Litar Antarabangsa Sepang, semalam.

 

Boy Wong Yew Choong muncul juara keseluruhan bagi kategori Super Sporting sementara tempat kedua jadi milik William Ho daripada pasukan Kegani Racing. Wakil Dream Chaser, Brendan Paul Anthony melengkapkan kedudukan ketiga.

Bagi kategori Sporting amatur, Brendon Lim (Tedco Racing) muncul juara keseluruhan dengan perbezaan satu mata di hadapan wakil ST Wangan Racing Team, Eric Yong. Tempat ketiga jadi milik Kenneth Koh daripada pasukan Panglima City.

Sementara itu, pelakon wanita popular, Diana Danielle, telah dinobat sebagai juara keseluruhan kategori Promotional Class sekaligus menjadi pelumba wanita pertama untuk merangkul kejuaraan tersebut – Aiman Tino dan Akim Ahmad menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua dan ketiga.

Cabaran Toyota Vios Musim 2 telah diadakan di empat tempat di seluruh Malaysia dengan lapan perlumbaan keseluruhan. Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu menjadi medan aksi pembukaan sebelum ke MAEPS, Serdang, Stadium Batu Kawan di Pulau Pinang dan perlumbaan akhir di Litar Antarabangsa Sepang.

Timbalan Pengerusi UMW Toyota, Akio Takeyama teruja dengan kejayaan Musim 2.

“Sememangnya musim ini berlangsung dengan jayanya. Saya gembira untuk mengatakan bahawa jenama Toyota Gazoo Racing telah meningkatkan kesederan orang ramai. Kami teruja untuk meneruskan inisiatif ini selama mungkin di Malaysia,”jelasnya.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.