Franco Morbidelli Gembira Dapat Hadiahkan Tempat Lima Teratas Pertama Buat Pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team

  • Franco Morbidelli gembira berjaya memperolehi tempat yang ke-lima dalam pusingan MotoGP “Red Bull Grand Prix of the Americas”.
  • Teman sepasukannya dan penunggang rookie, Fabio Quartararo menamatkan perlumbaan tersebut di tempat yang ke-tujuh.
  • Ini adalah satu keputusan yang amat memberangsangkan buat pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team.

Sewaktu semua peminat terpukau apabila Marc Marquez terbabas pada awal perlumbaan serta aksi pertarungan sengit antara Valentino Rossi dan Alex Rins bagi merebut kemenangan perlumbaan selepas itu, Franco Morbidelli telah mempamerkan aksi yang cemerlang dan menamatkan pusingan MotoGP “Red Bull Grand Prix of the Americas” di tempat yang ke-lima pada hujung minggu yang lalu. Ianya adalah tempat lima teratas yang pertama buat dirinya dan juga bagi pasukannya yang juga merupakan sebuah pasukan yang baharu, PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team.

Morbidelli bertarung sengit dengan Andrea Dovizioso dari pasukan Mission Winnow Ducati namun akhirnya terpaksa mengalah pada penghujungnya. Dovizioso memulakan perlumbaan dari petak ke-13 di atas grid dan telah berjaya memintas kebanyakan penunggang sebelum menamatkan perlumbaan di tempat ke-empat. Morbidelli berjaya mempertahankan tempat ke-limanya dari serangan teman sepasukan Dovizioso, Danilo Petrucci.

Ini adalah keputusan terbaik buat Morbidelli dalam MotoGP setakat ini, sejak menyertai kelas premier ini pada tahun lalu.

Saya berasa teramat gembira kerana berjaya mendapat tempat ke-lima ini. Kami mula agak jauh di belakang, kerana hari sebelumnya kami kurang menyerlah sewaktu sesi kelayakan. Namun saya yakin yang saya boleh memberikan saingan sewaktu perlumbaan,” ujar penunggang kelahiran Itali berkenaan.

Pasukannya bertambah gembira apabila penunggang rookie MotoGP mereka berjaya merangkul tempat ke-tujuh, satu tempat di belakang Petrucci.

Ini satu keputusan yang amat memberangsangkan buat pasukan dari Malaysia berkenaan, yang mana hanya ditubuhkan enam bulan sebelum bermulanya musim 2019.

Bagaimana pun, Morbidelli masih mengekalkan pandangan yang pragmatik, dan berkata yang pasukannya itu masih perlu memperbaiki diri. “Kami perlu terus berusaha, kami perlu terus mempertingkatkan kebolehan bagi merapatkan jurang 8 saat tersebut. Kami ketinggalan beberapa saat di belakang sewaktu pusingan di Argentina. Jadi, kami masih perlu berusaha untuk melangkah ke atas podium.”

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.