AJRRC: Zaqhwan Puas Hati Dengan Kedudukan Kesembilan Keseluruhan

Pelumba negara, Zaqhwan Zaidi menamatkan kedua-dua perlumbaan kelas JSB1000, Kejuaraan Motosikal Seluruh Jepun (AJRRC) di kedudukan kesembilan di Litar Motegi, Jepun, semalam.

Pelumba pasukan Honda Asia-Dream Racing with SHOWA itu menamatkan saingan dalam perlumbaan 2 dengan catatan keseluruhan 42 minit 41.130 saat selepas merekodkan kedudukan sama di perlumbaan 1, kelmarin.

Perlumbaan 2 menyaksikan wakil Jepun, Katsuyuki Nakasuka juara dengan catatan 41′ 36.963s diikuti Takahashi Takumi, 41’37.076s.

Tempat ketiga menjadi milik Nozane Kosuke dari pasukan Yamaha Factory Racing dengan catatan 41’48.539s.

Zaqhwan, yang menggunakan jentera Honda CBR1000 RR SP2 meluahkan rasa puas hati dengan persembahan keseluruhannya.

“Saya gembira dengan keputusan minggu ini. Berbanding tahun lalu, terdapat peningkatan daripada aspek motosikal dan perlumbaan.

“Sasaran saya tahun ini adalah menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 terbaik,” katanya.

Zaqhwan bakal kembali ke tanah air bagi saingan Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Batu Kawan, Pulau Pinang, pada 13 dan 14 April ini.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply