4 Sebab Anda Perlu Elak Beli Helmet Tiruan!

Meskipun terdapat pelbagai jenama topi keledar yang datang dalam pelbagai rupa dan bentuk namun kesemuanya berkongsi satu persamaan, memastikan perlindungan optimum untuk kepala setiap penunggang motosikal.

Bagaimanapun, dalam tempoh beberapa tahun ini, permintaan helmet tiruan semakin tinggi dengan pembeli mahu mendapatkan helmet berjenama dengan harga jauh lebih rendah.

Helmet tiruan boleh didapati dengan mudah terutamanya di media sosial dan laman sesawang perniagaan atas talian.

Memandang serius keselamatan penunggang motosikal, kami senaraikan empat sebab anda perlu elak daripada membeli helmet tiruan.

1) Tidak menjalani ujian keselamatan

Dua tahun lalu, pengeluar helmet Jepun, SHOEI menerusi syarikat Sinar Puncak Sdn Bhd telah menguji beberapa helmet tiruan yang menggunakan jenama mereka dan mendapati barang tiruan tersebut tidak kukuh dan tidak selamat untuk digunakan.

Mereka turut mendapati bahan yang digunakan mudah retak sementara visor retak serta-merta apabila terkena batu kecil.

2) Tidak mengikut piawaian ditetapkan

Setiap helmet yang dijual di Malaysia perlu mendapatkan sijil piawaian MS 1 atau E Marking.

Kedua-dua piawaian ini mengesahkan bahawa helmet yang dijual di pasaran adalah selamat untuk digunakan.

3) Tidak menggunakan bahan berkualiti

Meskipun helmet tiruan memaparkan jenama terkenal antaranya, SHOEI, Arai dan AGV namun ia sama sekali tidak mencerminkan kualiti yang sama seperti yang produk ‘original’.

Rata-rata helmet tiruan menggunakan ‘foam’ perlindungan yang biasa sementara cengekerang helmet pula menggunakan bahan yang tidak berkualiti dan mudah pecah apabila kemalangan. Tali topi keledar juga mudah putus apabila direntap!

4) Nyawa lebih penting berbanding jenama

Antara sebab utama segelintir daripada penunggang motosikal membeli helmet tiruan adalah disebabkan mengejar jenama dan reka bentuk yang cantik.

Tidak dinafikan, helmet tiruan tampak serupa dengan helmet asli yang berjenama namun seharusnya keutamaan diberikan terhadap menjaga keselamatan diri dan bukannya cuba kelihatan gah dengan helmet yang bergaya!

Jadilah pengguna yang bijak dengan memilih peralatan yang dapat meningkatkan keselamatan daripada mengejar jenama dan rupa bentuk semata-mata untuk tampak lebih bergaya.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply