KTM Kekal Dengan Kerangka Keluli dan Suspensi WP

Hafizh Syahrin di atas jentera KTM RC16 sewaktu GP Qatar 2019 – Sumber imej: MotoGP.com

 

  • Jentera perlumbaan KTM RC16 menggunakan kerangka keluli trellis dan suspensi WP.
  • Ini berbeza berbanding dengan spar aluminium dan suspensi Öhlins yang menjadi pilihan pasukan MotoGP yang lain.
  • Apabila ditanya sama ada mereka akan menukarkan kelengkapan dan bahagian tersebut, ketua pasukan KTM menidakkannya.

Ramai yang telah bercerita mengenai kehambaran prestasi KTM dalam kejohanan MotoGP. Kebanyakan daripada mereka menuding jari pada penggunaan kerangka keluli trellis dan suspensi WP pada jentera RC16 mereka sebagai punca. Pilihan kerangka dan suspensi itu berlainan daripada kebanyakan pasukan MotoGP yang lain, yang menggunakan bahagian spar aluminium dan suspensi Öhlins.

Bagi mereka yang kurang arif mengenainya, ia mungkin kelihatan seperti pengeluar dari Austria ini tidak menunjukkan sebarang kemajuan, namun hakikatnya, jentera RC16 mereka tersebut telah menjalani pembangunan yang cukup pesat dalam masa yang amat singkat.

Ia bermula dengan sebuah enjin “screamer” (ke semua silinder bergerak dalam turutan berjarak sekata) pada tahun 2017. Tetapi pada tahun 2018, ia telah dirombak semula mengikut tatarajah “big bang” (ke semua silinder bergerak dalam jarak yang pendek), bersama dengan aci engkol putaran berlawanan.

Pengurus sukan permotoran KTM, Pit Beirer, memberitahu Simon Crafar dari MotoGP.com bahawa mereka telah menjalankan begitu banyak pembangunan dalam masa dua tahun. Malah, jentera RC16 mereka itu telah berjaya mencatat masa pusingan mirip dengan catatan masa Marc Marquez pada tahun 2017 di beberapa buah litar pada tahun lalu.

“Keseluruhan grid MotoGP membangun dengan kadar yang amat pantas, setiap langkah sentiasa ke hadapan. Namun, jika anda katakan pada saya pada lima tahun yang lalu bahawa KTM mampu membina sebuah jentera yang dapat memperoleh masa yang dicatatkan oleh Marquez pada tahun yang sebelumnya, saya sukar untuk percayakannya. Tetapi, itulah yang telah kami lakukan.”

Apabila ditanya sama ada mereka akan berhenti menggunakan kerangka keluli trellis dan suspensi WP, “Ianya bukan satu pilihan yang kami inginkan,” ujar Beirer

“Kedua-dua bahagian berkenaan telah menyumbang kepada kejayaan kami dalam setiap satu disiplin perlumbaan, jadi, kami akan terus menggunakannya kerana kami memiliki pengalaman paling mendalam berkenaan dengan bahan yang kami gunakan ini.”

Tidak dinafikan yang gabungan kerangka dan suspensi WP tersebut telah membolehkan KTM untuk kekal berdaya saing, untuk mengecapi kejayaan, malah, mendominasi kejohanan dari perlumbaan enduro sehinggalah ke Moto2. Tahap yang seterusnya sudah pasti adalah MotoGP, dan dengan sedikit masa dan pembangunan, siapa tahu, ia mungkin menjadi kenyataan.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]