- Berita mengenai litar jalan raya yang bakal menjadi tuan rumah pusingan MotoGP Indonesia telah diterima dengan penuh keraguan.
- Mereka yang kurang arif berpendapat bahawa ianya merbahaya buat penunggang MotoGP dan juga penonton.
- Bagaimana pun, pelannya telah pun dirangka bagi mematuhi tahap keselamatan dan telah mendapat lampu hijau dari Dorna dan FIM.
Dorna dan FIM baru-baru ini telah mengesahkan bahawa Indonesia bakal menjadi tuan rumah bagi pusingan perlumbaan MotoGP dan WorldSBK bermula tahun 2021. Lokasi yang telah dipilih adalah Lombok.
Selain itu, mereka turut mengumumkan yang ianya bakal menjadi ‘litar jalan raya’ pertama bagi kejohanan MotoGP. Berita tersebut telah menarik banyak perhatian negatif dalam media sosial. Ada antara komennya berbunyi, “kalau ianya akan menyebabkan penunggang terkorban, baik takyah lumba kat sana,”
Namun sesungguhnya, Dorna dan FIM berada tiga langkah di hadapan pahlawan-pahlawan papan kekunci tersebut.
Keraguan ini telah dijawab oleh Mark Hughes dari MRK1 Consulting bersama dengan RoadGrip Motorsport. Kedua-dua syarikat antarabangsa telah dilantik oleh Badan Pembangunan Pelancongan Indonesia (IDTC) bagi mengendalikan perancangan, pembinaan, dan pengendalian litar.
“Kami sedar sewaktu kami mengumumkan projek ini ada keraguan mengenai konsep litar jalan raya,” ujar Hughes, sewaktu pembentangan projek berkenaan di pusingan pembukaan Grand Prix Qatar.
“Kami telah menerangkan dengan jelas sekali yang litar ini telah direka dan akan dibina mengikut standard keselamatan yang ditetapkan FIM untuk MotoGP.”
Ketua Pegawai Eksekutif Dorna, Carmelo Ezpeleta, juga telah mengatakan yang mereka tidak mengkompromikan keselamatan.
“Seperti mana yang sering kami katakan, kami tidak berlumba di atas litar jalan raya, tetapi, ini adalah ke semua fasiliti sebuah litar jalan raya – di tengah-tengah ‘bandar’, semua hotel ada di sana – tetapi, dengan ciri keselamatan penuh untuk penunggang,” jelas Ezpeleta.
Litar Lombok ini bukanlah seperti litar jalan raya lain yang kita kenali seperti litar Monaco dan Macau. Sebaliknya, ianya dibina khusus untuk perlumbaan dan hanya dibuka untuk orang awam selepas perlumbaan. Berbeza dengan litar Monaco dan Macau yang merupakan jalan raya awam yang ditukar menjadi litar perlumbaan.
“Perancangan utama bagi (susunatur) resort ini telah siap sebelum kami mula terlibat. Dan dengan kerjasama antara RoadGrip, MRK1, dan ITDC, kami telah mengubahsuai reka bentuk litar,” ujar Hughes.
“Kami sedar yang kami tidak dapat menukar sepenuhnya reka bentuk litar, kerana sudah ada terlalu banyak pelaburan padanya, dan dengan sokongan Dorna dan juga FIM, kami telah melakukan perubahan kecil bagi memenuhi piawaian keselamatan bagi lesen Gred A.”
“Sewaktu anda tiba di acara perlumbaannya, ianya tiada bezanya seperti tiba di mana-mana litar MotoGP yang lain. Ia akan memiliki ke semua infrastrukturnya di sana,” tambah Hughes. “Tetapi, sebahagian besar daripada infrastruktur itu kemudiannya akan boleh ditanggalkan bagi mengubah litar ini menjadi jaringan jalan raya bagi resort peranginan untuk baki tahun.”
Atas sebab inilah litar ini ianya dipanggil ‘sesuatu yang istimewa’.