Tanggapan Pertama Ducati Hypermotard 950 Dan 950 SP – Raja Jentera Hooligan

  • Pewaris model Hypermotard 939 menawarkan sifat hooligan dengan penambahbaikan tambahan.
  • Ianya sebuah model yang berfokuskan kepada prestasi yang turut dilengkapi dengan ciri tunggangan harian seperti keselesaan.
  • Kami telah berpeluang untuk menunggang motosikal Hypermotard 950 dan 950 SP di Sepanyol baru-baru ini.
  • 950 Standard ini lebih pendek dan beraksi dengan amat baik mendaki jalan raya bukit di Pulau Grand Canary.
  • Model 950 SP lebih ringan, lebih tinggi, dan didatangkan dengan quickshifter sebagai kelengkapan standard.

Artikel oleh Keshy Dhillon untuk BikesRepublic.com

Motosikal Ducati Hypermotard ini boleh dianggap sebagai ‘rockstar’ dalam dunia motosikal. Kerana ianya sentiasa heboh dan akan menarik perhatian ramai ke mana sahaja ia pergi.

Jadi apabila model terkini Hypermotard 950 telah diperkenalkan pada bulan November 2018, dunia permotosikalan menanti kemunculannya dengan penuh harapan, seperti kebiasaannya apabila model terbaru Hyper diumumkan.

Sejarah ringkas – Motosikal Hyper yang pertama telah diperkenalkan pada tahun 2006, dan ianya sebuah jentera dengan fokus tunggal untuk memberikan hiburan berjam-jam lamanya. Direka oleh Pierre Terblanche, anak didik pereka legenda Massimo Tamburini, model Hypermotard muncul dengan majlis pelancaran yang luar biasa.

Setelah berbulan lamanya khabar angin mengenai Ducati yang sedang membina motosikal supermotard bagi menyaingi pengeluar seperti KTM dan Husqvarna, model Hypermotard ini telah diperkenalkan melalui sebuah laman sesawang mikro yang boleh diakses dari laman sesawang utama Ducati. Kemunculan motosikal Hyper 1100 itu menarik perhatian ramai sewaktu pelancaran digitalnya sehinggakan ia menyebabkan laman sesawang global Ducati tidak boleh dimasuki.

Dan kini, 13 tahun kemudian, saya berada di Pulau Grand Canary di Sepanyol, menjamu mata dengan Ducati Hypermotard 950 yang baharu – cucu kepada model 1100 yang kemudiannya telah dikenali dengan nama “King of Wheelies”, dan model 939, pewarisnya yang lebih ringan, lebih kecil, tetapi, lebih liar.

Pembaharuan

Perkara pertama yang akan anda sedari adalah motosikal ini tidak banyak bezanya dari sebelum ini, namun, semuanya menjadi lebih jelas sebaik sahaja anda memberikan perhatian yang lebih terperinci. Malah, selain daripada kerangka trellisnya itu, segala-galanya yang ada pada 950 ini adalah serba baharu dan/atau telah dipertingkatkan dengan ketara dari sebelum ini.

Ekzosnya kini telah diletakkan kembali di bawah pelana, seperti mana yang ada pada model 1100 yang asal (model 939 meletakkan ekzosnya di sisi). Anda bagaimana pun boleh memilih untuk memaut ekzos sisi, di mana Ducati turut menawarkan ekzos selepas jualan Termignoni.

Tetapi sekiranya anda lebih suka dengan aturcara bawah pelana dan pada masa yang sama, mahukan ekzos Termignoni, Ducati juga ada aksesori tersebut, begitu juga dengan ekzos ‘side exit’ Termignoni seperti pada gambar kedua di bawah.

Berikut adalah susun atur pelana dan tangki bahanapi – pelananya lebih tirus di hadapan dan lebih lebar di tempat mana anda akan melabuhkan punggung anda bagi memberikan lebih keselesaan, dengan kusyen tambahan untuk pembonceng.

Pelana pada model SP pula lebih rata berbanding dengan model 950 standard, bagi membolehkan penunggang untuk bergerak ke hadapan dan belakang sewaktu penunggangan yang laju.

Dengan kapasiti 14.5 liter, tangki bahanapinya juga 1.5 liter lebih kecil berbanding dengan model 939 dan telah direka semula bagi menjadikannya tampak lebih kecil supaya anda boleh duduk lebih jauh ke hadapan, bagi membolehkan anda menggelongsorkan tayar belakangnya, yang mana merupakan cara yang betul untuk menunggang sebuah motosikal supermotard, namun, pada masa yang sama, motosikal 950 ini juga membolehkan mereka yang suka mencecahkan lutut untuk menikmati keseronokan itu.

Seterusnya, paparan instrumen TFT digital baharu mirip yang ada pada Panigale V4. Bukan sahaja skrin baharu ini serba baharu dan amat dialu-alukan, tetapi apabila dipadankan dengan “Ducati Multimedia System (DMS), sistem ini boleh bersambung dengan telefon anda melalui Bluetooth dan boleh memaparkan panggilan,muzik yang anda dengari dalam helmet anda, dan juga akan memaparkan pesanan teks.

Secara peribadinya, saya rasa sudah ada terlalu banyak informasi yang dipaparkan dengan tolok kelajuan, meter kitaran, penunjuk gear dan juga maklumat-maklumat penting enjin yang lain, tetapi, jika inilah masa hadapan keterpautan penunggang-jentera, saya tidak begitu kisah, lagi pun, saya lebih gemar mendengar muzik ketika menunggang, dan tidak terlepas panggilan telefon.

Bagaimana pula dengan enjinnya?

Selain daripada perbezaaan visual, perbezaan yang lebih utama terletak pada pemangkin jentera ini – sebuah enjin L-Twin 11º Testastretta 937cc yang diolah semula.

Secara asasnya, ianya adalah enjin yang sama seperti enjin 939cc tetapi dengan lingkungan tork baharu yang memberikan anda capaian kepada lebih daripada 80% tork yang ada dari serendah 3,000rpm.

Lebih tepat lagi, 82% daripada 96Nm tork dari 3,000rpm dan 88% bermula dari 5,500 hingga 9,500rpm.

Ini bermakna anda boleh lebih mengharapkan daya kilas enjinnya sekarang berbanding sebelum tanpa perlu kerap menukar gear.

Selain itu, anda juga boleh mengharapkan enjinnya untuk memecut ketika diperlukan, berbanding menukar ke gear yang lebih rendah seperti mana pada model 939.

Dan oleh kerana motosikal ini datang dengan mod penunggangan, enjinnya sudah pasti akan bertindak balas mengikut mod yang dipilih. Sebagai contoh, dalam mod ‘Sport’, enjin lebih lincah dan mudah memecut.

Dalam mod ‘Touring’, tindak balas pendikitnya lebih bersahaja namun ianya memberikan anda akses sepenuhnya kepada kuasa kuda 114hp motosikal Hyper berkenaan. Mod ‘Urban’ menghadkan kuasa kudanya pada 75hp, dan memberikan model ini sifat yang lebih jinak.

Pertukaran antara mod-mod ini mudah sekali dan boleh dilakukan dengan serta-merta, tetapi, mengkhususkan setiap mod ini dan tahap pembrekan dan pelbagai parameter yang lain (seperti tahap kawalan cengkaman) memerlukan anda untuk berada dalam keadaan pegun.

Namun begitu, kebolehan untuk mengkhususkan pakej elektroniknya mengikut kemahuan anda adalah satu kelebihan yang besar.

Maklumat teknikal tambahan – enjin ini pada asasnya sama seperti yang ada pada motosikal 939, tetapi bagaimana ianya lebih berkuasa, lebih bertindak balas dan pada masa yang sama, lebih menjimatkan? Jurutera di Ducati telah meningkatkan nisbah pemampatan daripada 12.6:1 ke 13.3:1, dan dengan itu ia juga datang dengan pemasaan injap ekzos baharu, serta ‘throttle body’ 53mm baharu, dan ECU baharu. Ini memberikan motosikal ini lebih kuasa.

Motosikal Hypermotard ini juga cukup ringan sekali. Enjinnya datang 1.5kg lebih ringan, dicapai dengan meringankan klac, penutup alternator, gelendong syif gear, dan dengan menggunakan penutup cam magnesium.

Secara keseluruhannya, model 950 ini kira-kira 5kg lebih ringan berbanding 939. Dan walaupun kerangka trellisnya hampir serupa seperti sebelum ini, ia menggunakan tiub menirus, manakala sub rangka belakangnya juga rekaan trellis yang dipaut. Ini banyak menyumbang kepada pengurangan berat keseluruhannya.

Pengendalian

Seperti mana yang boleh anda jangkakan dari sebuah Hypermotard, pengendaliannya cukup mengagumkan! Pantas, mengikut kata, dan amat tepat, motosikal 950 baharu ini akan menurut apa sahaja yang anda mahukan, bila sahaja yang anda inginkan.

Dan bagaimana caranya untuk menjadikan motosikal yang lincah menjadi lebih lincah? Anda olah semula ergonomik dan saiz motosikal tersebut. Motosikal 950 yang standard ini pendek, lebih pendek berbanding varian SP.

Motosikal yang pendek lebih lincah berbanding motosikal yang lebih panjang. Pengendaliannya juga dibantu oleh sudut bukaan ‘rake’nya sebanyak 25 darjah yang lebih agresif, manakala palang pemegangnya yang lebih lebar memberikannya rasa yang lebih selamat.

Jika gaya penunggangan anda lebih ke arah supermoto berbanding superbike, anda akan hargai yang sudut bukaan sterengnya yang sebesar 70 darjah.

Dan sekiranya anda lebih kepada seorang penunggang superbike, anda pasti suka dengan sudut condongnya yang amat besar iaitu 44 darjah pada model standard dan 47 darjah bagi model SP.

Suspensi dan tayar sudah pasti memainkan peranan yang penting. Model standard dilengkapi dengan penyerap hentakan Sachs dan fork terbalik Marzocchi, manakala model SP pula dikendalikan oleh Öhlins secara keseluruhan. Fork Marzocchi tersebut boleh dilaras sepenuhnya, dan kira-kira setengah kilogram lebih ringan berbanding fork model 939.

Untuk tayarnya pula, model standard datang dengan tayar Pirelli Diablo Rosso III yang meliputi roda aluminium berjejari Y, manakala varian SP pula dilengkapi Supercorsa SP dengan roda tempa Marchesini. Rodanya hampir satu kilogram lebih ringan. Cengkamannya amat mengagumkan.

Di jalan berbukit Grand Canaria, melewati selekoh berpasir yang licin, kami telah menguji kebolehan tayar Diablo Rosso III ini, apa salahnya jika kami mahu menggelongsorkan tayar belakang motosikal hypermotard, kan? Dan ianya amatlah terkawal, dengan bantuan elektronik untuk membetulkan sudut condong.

Penunggangan

Hebat, cukup mengagumkan sekali! Kami mulakan dengan motosikal 950 standard bagi perjalanan pergi balik 140km mengelilingi jalan bukit tersebut. Posisi duduknya terasa semulajadi sebaik sahaja anda melabuhkan punggung di atasnya. Dan oleh kerana pelananya lebih tirus di hadapan, ianya memudahkan anda untuk menjejakkan kaki anda ke tanah, sesuatu yang pasti dihargai oleh penunggang yang pendek.

Atur cara klac bantuan hidrauliknya cukup ringan dengan sedikit tegangan pada tuilnya, memberikan motosikal ini sifat yang ramah. Kotak gearnya adalah kotak gear basah multiplet enam kelajuan dengan fungsi gelincir.

Menyusuri selekoh tajam atas jalan ray berbukit ini, motosikal 950 ini lincah memasuki selekoh. Anda boleh mengharapkan pada daya kilasnya dan juga lingkungan daya kilasnya, tetapi jika anda lebih suka menggunakan daya pembrekan enjin, ianya juga boleh digunakan kerana klac gelincirnya memastikan roda belakang kekal stabil.

Saya tunggang atas jalan raya bukit dalam mod ‘Touring’ dan ‘Urban’, dan walaupun motosikal ini berada dalam mod ‘Touring’, motosikal ini cukup pantas sekali, menyergah masuk selekoh, membenarkan saya untuk memasuki selekoh dengan lewat, dengan bahagian elektroniknya, mematikan pendikit hanya ketika jalan raya mulai terasa licin.

Mod ‘Touring’ tidak seagresif mod ‘Sport’, malah, tindak balas pendikitnya terasa agak jinak, tetapi ianya tetap amat menyeronokkan.

‘Urban’ pula, terasa agak membosankan bagi sebuah motosikal yang bergelar hooligan. Ianya sesuai untuk keadaan dalam bandar, sewaktu anda ingin benar-benar menjinakkannya dan memastikan motosikal bergerak seiring dengan aliran trafik. Ianya bagi memastikan anda kekal selamat, dan dengan itu, ianya paling sesuai untuk digunakan ketika hari hujan atau sewaktu trafik yang sesak.

Brek pada kedua-dua model 950 dan 950 SP terdiri daripada cakera brek aluminium separa apungan 320mm berganda dengan angkup Brembo Monobloc pautan jejari dengan empat omboh dan pad brek berganda serta ABS menyelekoh Bosch.

Brek hadapan cukup mencengkam sekali dan boleh memberikan kejutan jika anda tidak berhati-hati, jadi, ianya paling selamat untuk dikendalikan dengan satu jari.

Secara keseluruhannya, motosikal Hypermotard 950 ini masih lagi mewarisi perwatakan hooligannya, tetapi telah dikemaskini dengan penambahbaikan yang amat dialukan untuk penggunaan harian seperti tempat letak kaki penumpang, lapik pelana yang lebih tebal, dan mod urban yang menjadikan keseluruhan kuasa itu lebih terkawal ketika menunggang berdua dalam bandar.

Bagaimana pula dengan 950 SP

Jika model 950 standard adalah sebuah motosikal hooligan, model 950 ini pula adalah motosikal perlumbaan yang mematuhi peraturan paling minimum untuk menjadikannya sebuah motosikal kegunaan jalan raya, dan senakal yang dibenarkan bagi sebuah motosikal bernombor plet. Turun dari jalan raya bukit di atas 950,kami menuju ke litar Maspalomas yang pendek dan sempit untuk menguji motosikal SP.

Secara asasnya, ianya sebuah motosikal yang sama, tetapi dengan beberapa rombakan semula untuk menjadikannya lebih sporty berbanding model standard. Suspensinya lebih panjang dan menawarkan ruang gerakan tambahan sebanyak 15mm di bahagian hadapan dan 25mm di belakang.

Pelananya juga 20mm lebih tinggi berbanding model standard, dan posisi duduk yang lebih tinggi ini menawarkan kelincahan tambahan buat motosikal ini.

Selain itu, dan mungkin sekali perbezaan paling ‘nakal’ antara kedua-dua buah motosikal ini adalah model 950 SP ini dilengkapi dengan Ducati Quick Shifter (DQS) EVO sebagai kelengkapan standard (boleh didapati sebagai aksesori tambahan untuk model 950 standard).

DQS EVO berfungsi sewaktu pertukaran ke gear yang lebih tinggi mahu pun rendah dan memberikan motosikal ini sifat yang lebih nakal berbanding motosikal standard.

Ianya ketika anda benar-benar perlahan yang anda perlu menggunakan klac, selain daripada itu, sistemnya akan menjalankan tugasnya untuk anda.

Saya cuba menunggangnya dalam kedua-dua gaya supermotard dan superbike (yang mana saya sebenarnya lebih gemar dengan gaya superbike), dan saya boleh mengatakan dengan yakin bahawa motosikal SP ini boleh ditunggang mengikut kedua-dua gaya penunggangan ini.

Motosikal Hypermotard baharu ini juga turut menawarkan satu sistem yang unik yang menukar anda menjadi seperti seorang adiwira bermotosikal, iaitu ‘Ducati Slide by Brake’. Sistem ini pada mulanya diperkenalkan dalam model Panigale V4 S, dan kini telah dilengkapkan dalam motosikal Hypermotard 950.

Ia berfungsi apabila ABS berada di tahap 1, dan anda perlu menjelmakannya dengan menekan keras brek belakang sewaktu membelok motosikal, Di sini, motosikal secara automatik akan menggelongsorkan tayar belakang sebanyak 10 darjah dan anda boleh mengawal gelongsoran itu menggunakan brek belakang.

Ianya mengambil sedikit masa untuk membina keyakinan terhadap sistem itu kerana kita selalunya mengawal gelongsoran menggunakan pendikit dan bukannya brek belakang. Kami faham jika ada sesetengah penunggang lebih selesa menggunakan daya pembrekan enjin bagi membolehkan tayar belakang menggelongsor.

Di atas litar Maspalomas yang tajam dan bersimpang siur itu, motosikal SP ini terasa amat semulajadi selepas beberapa pusingan, bagaikan ianya dibina khas untuk keseronokan penunggangan sebegini dan kebolehan menunggang di atas jalan raya bandar adalah satu manfaat tambahan.

Tayarnya kekal mencengkam tidak kiralah di mana sudut condongnya, dan enjinnya terasa lebih selesa di atas litar berbanding jalan raya.

Daya kitarannya dimatikan pada 10,000rpm, dan dengan adanya DQS yang menukarkan gearnya lebih pantas daripada apa yang anda mampu, anda akan mencecah kelajuan melebihi 100km/j dalam jarak beberapa ratus meter sebelum menekan keras brek, memasuki selekoh dan membiarkan ciri elektroniknya menjalankan tugasnya, sebelum pemulas kuat kembali pendikitnya.

Cukup mudah untuk melakukan wheelie atas motosikal, kadang kala terlalu mudah hingga anda tidak menjangkakannya.

Tetapi Ducati sekali lagi mempunyai jawapan untuknya dan telah melengkapkan motosikal Hyper baharu ini dengan sebuah sistem bergelar “Ducati Wheelie Control Evo” yang mengawal wheelie yang tidak dijangka, memberikan anda cengkaman maksimum sepanjang masa.

Anda rasakan ia seperti kehilangan kuasa yang secara tiba-tiba, gangguan yang ketara namun ia berlaku dengan amat pantas sehinggakan ia tidak menjejaskan prestasi.

Sebarang rungutan?

Satu sahaja. Ducati mengatakan bahawa pelana baharu ini lebih selesa berbanding yang sebelumnya, tetapi saya rasa ianya tidaklah sehebat itu untuk jalan raya yang terbentang luas. Kebas punggung jadinya selepas 140km, namun, sekiranya anda inginkan keselesaan sebuah jentera touring, saya syorkan anda untuk mendapatkan motosikal Multistrada 950.

Berbaloikah motosikal ini?

Jika anda menggemari motosikal supermotard dan inginkan sebuah motosikal yang pantas, model Hypermotard 950 ini sesuai untuk anda. Model SP adalah pilihan saya kerana saya sukakan ketinggiannya dan posisi duduknya. Dan sekiranya anda memilih model 950 standard, pastikan yang anda melengkapkannya dengan aksesori tambahan quickshifter dan sistem ekzos Termignoni.

Bila ia akan tiba di Malaysia?

Ia dijangka tiba pada suku kedua atau ketiga tahun ini. Kami jangka yang ianya akan ditetapkan pada harga sekitar RM75,000 hingga RM83,000.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]