Menangi Sebuah Toyota Starlet KP61 Di Retro Havoc 2019!

Pertunjukan kereta klasik, Retro Havoc 2019, semakin menghampiri kita dan buat kali ini, acara tahunan anjuran Speedy Sabel ini menjanjikan kemeriahan yang lebih hebat berbanding tahun-tahun yang sebelumnya. Ingin tahu sejauh mana kehebohannya nanti? Buat pertama kalinya, mereka akan menghadiahkan sebuah kereta Toyota Starlet KP61 yang diubahsuai khas sebagai hadiah utama cabutan bertuah mereka!

Kembali untuk tahun yang ke-enamnya, acara Retro Havoc telah mendapat pengiktirafan sebagai salah sebuah acara yang wajib hadir buat para penggemar serta kelab kereta klasik tempatan dan juga antarabangsa. Kenderaan retro dari seluruh pelusuk Malaysia, Thailand, Singapura, Indonesia dan lain-lain penampilan khas yang telah diterbangkan dari seluruh dunia akan berhimpun di Kompleks BRT Sunway pada 30 Mac 2019, bermula jam 9 pagi hingga 9 malam.

Untuk tahun ini, sekitar 550 buah kereta klasik akan menghadirkan diri di tapak pesta ini bagi bertanding dalam 18 kategori kereta klasik yang berlainan. Tetamu istimewa bagi acara Retro Havoc 2019 adalah Daijiro Inada (Option Magazine Japan), Shojie Inoue (Starroad Japan), Akira Iida (pelumba kereta Toyota GR), Ron Celestine (Speedhunters.com), serta ramai lagi.

Tiket masuk untuk festival tahun ini adalah RM10 seorang dan setiap pemegang tiket layak untuk satu penyertaan dalam cabutan bertuah. Selain daripada hadiah utama Toyota Starlet KP61 yang telah dpulih baik sepenuhnya, hadiah-hadiah lain termasuklah tiket penerbangan ke Tokyo Auto Salon 2019, satu set teramat eksklusif roda Atara Racing, serta 5 lagi hadiah istimewa yang boleh dimenangi.

Retro Havoc 2019 dianjurkan dengan kerjasama PEKEMA Malaysia dan akan berlangsung pada 30 Mac 2019, dari jam 9 pagi hingga 9 malam, bertempat di Kompleks BRT Sunway. Bagi mendapatkan sebarang maklumat lanjut, sila layari laman Facebook rasmi mereka di https://www.facebook.com/RetroHavocMalaysia/.