La Moto Volante: Dari Animasi Ke Realiti

Bagi sesiapa yang menyaksikan animasi M.A.S.K sekitar tahun 80an pastinya akan ada yang teringat dengan jentera motosikal yang diberi nama Condor ekoran keupayaannya untuk terbang apabila bertukar menjadi sebuah helikopter.

Bayangkan apabila kenderaan yang suatu ketika dulu hanya wujud di dalam rancangan animasi kini bakal menjadi kenyataan menerusi La Moto Volante yang dihasilkan oleh Lazareth Auto-Moto.

(Sumber: Youtube)

Dalam satu video yang dimuat naik di YouTube semalam, Lazareth dilihat berjaya menghasilkan motosikal terbang apabila mempamerkan penerbangan setinggi 1 meter sebelum melakukan pendaratan yang stabil.

Meskipun masih berada di peringkat awal tetapi keputusan ujian dilihat menggalakkan.

Lazareth Auto-Moto sememangnya terkenal dengan penghasilan jentera luar biasa dan kadang-kala tidak masuk akal namun penciptaan La Moto Volante bakal menjadi teras kejayaan syarikat berpangkalan di Perancis itu.

Menariknya, La Moto Volante seakan-akan menyamai jentera LM-847 yang dihasilkan Lazareth sebelum ini yang menggunakan enjin Maserati – yang menghasilkan 470 hp.

Bagaimanapun Moto Volante menggunakan enjin JetCat 96,000rpm yang diletakkan di setiap tayar di samping menambah penggerak hidraulik bagi membenarkan keempat-empat tayar untuk bergerak ke atas.

Bagaimana La Moto Volante berfungsi?

Menurut Lazareth apa yang diperlukan untuk mengubah mod motosikal kepada mod terbang hanyalah dengan menekan suis khas namun pastikan berada di kawasan sesuai terlebih dahulu untuk memulakan proses penerbangan.

Lazareth bakal membawa La Moto Volante ke Gitex di Dubai pada Oktober dan akan menawarkan tempahan awal dengan harga USD560,000 (RM2.2j).

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.