Mesti pernah terlintas di fikiran perasaan untuk melancong ke negara luar dengan menggunakan jalan darat tetapi bagi sekumpulan pemilik Proton X70, mereka menjadikan angan-angan itu sebagai satu kenyataan.
Pasukan Borneo Leisure Touring telah menganjurkan Trip Menakjubkan Malaysia-China melibatkan sekumpulan pemilik SUV premium itu yang sedang pun berlangsung ketika ini.
Merentasi empat negara – Malaysia, Thailand, Laos dan China – trip tersebut melibatkan perjalanan sejauh 13,000 km yang akan memakan masa selama 33 hari.
Bahagian pertama perjalanan telah pun dimulakan dengan setiap pemilik Proton X70 telah memandu sejauh 540km – merangkumi 12 jam pemanduan – dari Malaysia ke Hatyai, Thailand.d
Konvoi turut sempat singgah di PROTON Juru Auto-City dan menikmati makan malam bersama wakil PROTON Motors Thailand.
Hari kedua menyaksikan konvoi bergerak ke Hua Hin yang melibatkan perjalanan sejauh 720km namun peserta disajikan dengan keselesaan sepanjang pemanduan Proton X70.
Sebaik tiba, mereka disambut dengan kawasan pantai yang serba indah dan kelibat pelancong daripada serata dunia.
Memasuki hari ketiga, konvoi berjalan sejauh 619km menuju ke ibu kota Tak – yang berkongsi sempadan panjang dengan Myanmar.
Seperti biasa, peserta tidak berdepan sebarang masalah apabila Proton X70 dengan enjin 1.8TGDI dengan mudah memintas kenderaan lain yang lebih perlahan. Walaupun menempuh banyak lampu isyarat namun fungsi Auto Hold memudahkan peserta menikmati perjalanan.
Hari keempat dan kelima hampir pasti menjelmakan cabaran yang paling terbesar sejak trip Road Less Travelled diadakan. Bagaimanapun ia tidak menjadi masalah buat setiap peserta yang terlibat dengan masing-masing disajikan dengan pengalaman terbaik.
Manakan tidak, mereka sempat singgah di Magic Hill – terletak di Lebuhraya 105 – dan menyaksikan sendiri bagaimana Proton X70 yang dimatikan enjin mampu bergerak sendiri mendaki bukti sejauh 10 meter!
Konvoi kini telah pun berjaya sampai di sempadan China dan sudah pasti pelbagai lagi cabaran dan keindahan yang bakal menanti mereka untuk tempoh 28 hari akan datang.
Apakah yang akan terjadi dalam kisah seterusnya?