Pelumba Ducati, Andrea Dovizioso mendominasi saingan pembukaan MotoGP di Litar Losail,Qatar namun sebaik perlumbaan berakhir, empat pasukan telah menyatakan bantahan terhadap kemenangan tersebut.
Segalanya berpunca daripada ‘winglet’yang diletakkan di bahagian depan tayar belakang.
Ducati mempertahankan penggunaan alat itu dengan alasan alat tersebut bertindak menyejukkan tayar bagaimanapun, pasukan yang menyatakan bantahan berpendapat ‘winglet’tersebut menghasilkan ‘downforce’ – sekaligus melanggar peraturan penggunaan ‘winglet’ berlebihan musim ini.
Antara yang lantang menyuarakan bantahan adalah, Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia Racing, Massimo Rivola yang turut memiliki pengalaman selama 20 tahun di pentas Formula 1 – Rivola bekerjasama dengan Minardi dan Toro Rosso sebelum ke Ferrari.
Sebelum ini, peraturan dengan jelas menyatakan penggunaan ‘winglet’ atau ‘deflector’ hanya boleh digunakan ketika litar dalam keadaan basah kerana fungsi utamanya adalah ia mampu memindahkan air di sekeliling tayar bagi memastikan keselamatan pelumba.
Bagaimanapun, peraturan tersebut telah pun dikemaskini dan kini penggunaan ‘deflector’ itu turut dibolehkan dalam keadaan litar kering, sekaligus membuka peluang kepada Ducati untuk menggunakan ‘winglet’ atas alasan sama.
Di mata pengeluar lain, jelas sekali penggunaan ‘winglet’memberikan kelebihan daripada aspek aerodinamik – Yamaha menggunakan alat sama ketika perlumbaan litar basah di Valencia tahun lalu.
Aduan yang dikemukan kepada Race Direction MotoGP telah disertakan dengan laporan teknikal intensif oleh Rivola bagi menyokong hujahnya bahawa penggunaan ‘winglet’ menghasilkan downforce.
Selain Aprilia, Suzuki, Honda dan KTM turut sama menyatakan bantahan terhadap penggunaan ‘winglet’ oleh Ducati. Mereka berasa ragu dengan alasan Ducati bahawa alat tersebut digunakan untuk menyejukkan tayar meskipun suhu litar di hari perlumbaan berada di bawah 25 darjah celsius.
Keputusan penuh oleh FIM dijangka bakal dilakukan dalam masa beberapa hari.