Perodua: 37,400 Unit Kenderaan Dijual Dalam Tempoh Dua Bulan

Myvi kekal jadi tarikan utama Perodua.

Perusahaan Otomobil Kedua Sendirian Berhad (Perodua) mencatat penjualan hampir 37,400 kenderaan dalam tempoh dua bulan pertama tahun 2019 berbanding 34,800 yang dicatat dalam tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan sebanyak 7.3% itu dilakar ekoran terdapat permintaan tinggi terhadap semua model yang ditawarkan.

“Peningkatan prestasi jualan adalah hasil daripada usaha kami untuk menambahbaik masa penghantaran kami,” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato’ Dr Zahari Husin.

Myvi kekal menjadi pilihan utama rakyat Malaysia dengan 15,000 unit berjaya dijual diikuti Axia (10,100), Bezza (5,900) dan Alza (2,700).

Model SUV terbaru, Aruz turut melakar penjualan sebanyak 3,600 meskipun baru diperkenalkan awal tahun ini.

3,600 unit dijual sejak dilancarkan pada Januari.

“Sementara menunggu laporan bahagian pasaran daripada Persatuan Automotif Malaysia (MAA), kami menganggarkan bahawa bahagian pasaran kami setakat tahun ini adalah 41%.

“Sementara itu, SUV tujuh tempat duduk terbaharu kami, Perodua Aruz, terus meraih pesanan yang memberangsangkan dengan lebih daripada 13,000 tempahan diterima sejak awal Januari,” tambah Dato’ Dr Zahari.

Perodua menawarkan dua varian bagi model Aruz – X dan AV – namun hampir 85% tempahan adalah untuk model AV.

Menyedari permintaan yang tinggi, Perodua mengambil inisiatif untuk mengurangkan masa menunggu untuk Aruz dengan menyelaraskan operasi pengeluaran yang akan diteruskan ke sepanjang bulan Mac.

“Kami amat berterima kasih di atas sokongan dan kesabaran anda dan kami berharap agar kami dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada anda untuk masa yang akan datang,” kata Dato’ Dr Zahari.

Perodua kini mengadakan jerayawara (roadshow) Aruz On Tour di seluruh negara, bermula pada 13hb Februari di Selangor dan seterusnya ke Johor Bahru, Kota Bharu dan berakhir di Kuching pada 8-10hb Mac bertempat di pusat membeli-belah The Spring.

“Kami amat mengalu-alukan orang ramai yang berada di Kuching untuk menyertai Aruz On Tour dan melihat dengan lebih dekat SUV terbaharu Perodua serta memandu uji kenderaan tersebut.

“Sebagai alternatif, bercakaplah dengan penasihat jualan kami yang sah di pusat jualan dan pameran Perodua yang berhampiran anda untuk mengenalpasti kenderaan Perodua yang paling sesuai untuk anda,” kata Dato’ Dr Zahari.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.