10 Minit Bersama Dato’ Anand, Presiden Shadowfax MG

  • Kita telah berpeluang untuk bersembang dengan Dato’ Anand, Presiden Shadowfax MG.
  • Kumpulan motosikal ini bergerak aktif berkonvoi dan melakukan kerja kebajikan di Malaysia dan luar negara.
  • Mereka mempunyai rancangan untuk menunggang ke Jepun dan London dengan motosikal Harley mereka.

Satu aspek yang menarik mengenai dunia permotosikalan adalah peluang untuk berjumpa dengan orang dari pelbagai lapisan masyarakat. Kami telah berpeluang untuk duduk semeja dan berbual dengan Dato’ Anand, Presiden Shadowfax MG.

Kumpulan motosikal ini terdiri daripada para pemilik motosikal Harley-Davidson dan bergerak aktif dalam aktiviti berkonvoi dan juga melakukan kebajikan di seluruh Malaysia dan juga di luar negara.

MotoMalaya: Anda telah memiliki pelbagai motosikal Harley-Davidson, dan baru-baru ini, telah mendapatkan motosikal CVO Limited Ulangtahun ke-115 (versi eksklusif bagi model Electra Glide Ultra Limited). Apakah antara motosikal lain yang anda miliki?
Dato’ Anand: Saya ada Electra Glide Ulangtahun ke-105, Road King Ulangtahun ke-110, CVO Ulangtahun ke-115, dan sebuah Honda Gold Wing.

MotoMalaya: Bila anda mula menunggang motosikal Harley?
Dato’ Anand: Saya bermula pada tahun 2007 dengan sebuah Ultra.

MotoMalaya: Apa yang telah menarik minat anda kepada motosikal Harley-Davidson?
Dato’ Anand: Tarikan motosikal Harley ini adalah gaya dan kehadirannya. Ianya sebuah jenama yang dikenali serata dunia. Saya amat menyukai motosikal Harley dari usia yang muda namun tidak mampu memilikinya pada waktu itu. Saya menunggang Kawasaki pada masa itu. Namun kemudiannya saya adalah pelanggan pertama Harley sewaktu ianya berada di Naza.

Ianya adalah motosikal Electra Glide Ulangtahun ke-105. Saya telah membayar harga motosikal ini sewaktu saya di Sabah ketika melakukan kerja amal untuk gempa bumi di China.

Sewaktu Harley-Davidson berpindah ke The Gasket Alley (Didi Resources) 15 tahun yang kemudian, saya mahu menjadi pemilik CVO yang pertama. Kini saya tidak sabar menanti 4 tahun yang akan datang (2023 bagi ulangtahun ke-120). Saya ingin mendapatkan dua buah motosikal, tetapi selepas itu… (Dato’ Anand mengerut muka sambil memberikan isyarat “tidak”)

Ianya kerana saya sudah ada terlalu banyak motosikal. Tengok sahajalah motosikal Road King saya yang ada dalam bengkel. Saya hanya menunggangnya dari rumah je Hard Rock Café dan pulang. Saya guna dua buah motosikal yang lain apabila berkonvoi di luar negara.

Saya telah menyertai konvoi Merdeka dua tahun yang lalu, dari KL ke India. Kami melalui enam buah negara: Malaysia, Thailand, Myanmar, Bhutan, Nepal, dan akhirnya tiba di India.

Kami juga telah menunggang di New Zealand.

Perbezaannya di sini kami hantar motosikal kami sendiri ke sana, daripada terbang ke sana dan menyewa motosikal di sana. Kami dikenali dengan tanda pengenalan membawa motosikal kami sendiri.

Saya hanya sewa motosikal sewaktu di Amerika Syarikat. Kami telah membawa motosikal kami ke Sri Lanka, dan Kunming di China. Kami juga telah mengunjungi Laos, Kemboja, dan Vietnam.

Selepas ini, kami akan ke Jepun pada bulan Mei.

Kami sering berkonvoi ke Phuket Bike Week, dan kami juga pernah ke Tachileik Bike Week di Myanmar. Saya telah membawa keseluruhan ‘HDPJ Chapter’ ke Myanmar.

MotoMalaya: Berapa ramai ahli kumpulan yang anda ada?
Dato’ Anand: Saya ada 23 ahli dalam kumpulan kami. Ke semua mereka aktif tetapi selalunya hanya 10 orang sahaja yang akan menunggang di luar negara. Yang lain ada komitmen dan kekangan masa mereka sendiri, jadi kami faham keadaannya. Bagi kami, keluarga paling penting sekali.

MotoMalaya: Apakah misi utama kumpulan Shadowfax?
Dato’ Anand: Kami bertumpu pada kerja kebajikan. Kami cari mereka yang memerlukan dan berikan bantuan. Sebagai contoh, jika ada kanak-kanak yang memerlukan wang untuk bersekolah, kami akan cuba membantu. Kita seharusnya sentiasa melakukan kebaikan, berbudi kepada komuniti.

MotoMalaya: Apakah aktiviti-aktiviti yang telah anda rancang untuk tahun ini?
Dato’ Anand: Salah satu aktiviti yang telah kami rancang adalah berkonvoi di Jepun. Tidak pernah lagi ada kumpulan dari Malaysia yang membawa motosikal mereka ke sana untuk berkonvoi. Menyewa motosikal di luar negara tidak sama rasanya dengan menunggang motosikal sendiri. Kami menganjurkan konvoi di luar negara secara tahunan.

Sebagai contoh, kami telah menunggang ke Myanmar pada tahun lalu dan menjelajah jarak hampir 6,000km.

Kami merancang untuk menganjurkan konvoi Merdeka dari KL ke London untuk tahun hadapan. Kami akan berjumpa dengan Duta Malaysia di sana dan akan meraikan sambutan di kedutaan Malaysia di sana.

Dan semestinya, kami ada menganjurkan konvoi hujung minggu bagi menikmati sarapan atau minum petang.

Selain itu, kami turut memberi sokongan pada ke semua minggu motosikal tempatan. Minggu hadapan (10-11 Mac) akan berlangsungnya Terengganu Bike Week. Akan ada banyak konvoi pada bulan Mac ini. Antaranya Danok Bike Week, dan pembukaan cawangan Pulau Pinang pada 16 haribulan nanti.

MotoMalaya: Apa pendapat anda mengenai Harley-Davidson Petaling Jaya setakat ini?
Dato’ Anand: HDPJ sangat bagus setakat ini. Perkhidmatan bagus oleh kakitangan dan juga kru penyelenggaraan.

MotoMalaya: Apakah sokongan yang telah diberikan oleh HDPJ kepada anda dan kumpulan motosikal anda?
Dato’ Anand: Kami tidak pernah meminta apa-apa setakat ini dari HDPJ, namun, mereka boleh menaja konvoi KL-London. Wakil pengedar rasmi sebelum ini telah menaja tayar dan penyelenggaraan motosikal untuk konvoi kami ke India. Ianya kerana kami turut mempromosikan HDPJ dan motosikal Harley-Davidson. Kami akan menunggang motosikal kami sampai ke London.

Kami tidak meminta wang, cukup dengan tayar dan penyelenggaraan.

Saya ingin menyatakan bahawa Shadowfax telah membuktikan yang motosikal Harley-Davidson boleh ditunggang melalui situasi yang mencabar. Semua orang kata, “Tidak boleh, hanya BMW yang boleh.” Tetapi kami telah membuktikannya dengan model touring. Kami telah menunggang sejauh 12,700km dan mencatat nama dalam “Malaysia Book of Record”.

Setakat ini, tiada lagi orang Malaysia yang pernah menunggang ke London di atas sebuah Harley.

GALERI GAMBAR

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply