Jaguar I-PACE Dinobat Kereta Terbaik Eropah

Kereta elektrik, Jaguar I-PACE, telah dinobat sebagai Kereta Terbaik Eropah 2019 di Anugerah Kereta Eropah 2019 yang berlangsung di Geneva, Switzerland, semalam.

Ini merupakan kemenangan sulung Jaguar dalam merangkul anugerah berprestij itu.

Barisan juri – yang terdiri daripada 60 wartawan permotorann daripada 23 negara – mengambil kira aspek inovasi teknikal, reka bentuk, prestasi dan kecekapan pemanduan dalam pemilihan kereta terbaik.

Ketua Pegawai Eksekutif Jaguar, Prof. Dr. Ralf Speth, menyifatkan anugerah tersebut amat bermakna buat pengeluar kereta berpangkalan di England itu.

“Kami berasa bangga kenderaan elektrik pertama kami menjadi Jaguar pertama yang berjaya memenangi anugerah Kereta Terbaik 2019.

“I-PACE merupakan kenderaan elektrik berasaskan bateri yang paling maju dihasilkan, berbeza dengan kenderaan elektrik lain. Memenangi anugerah Kereta Eropah Terbaik 2019 adalah satu penghormatan dan pengiktirafan terhadap pasukan bertaraf dunia kami.

Dihasilkan di UK, penjualan Jaguar I-PACE cukup memberangsangkan di seluruh dunia dengan lebih 8,000 pelanggan telah pun menerima kereta mereka – 75% daripadanya dijual di Eropah.

Sementara itu, 85,000 kemudahan pusat mengecas di Eropah turut memainkan peranan dalam menentukan Jaguar I-PACE sebagai pemenang.

Sejak diperkenalkan kepada umum tahun lalu, I-PACE telah pun menerima hampir 55 anugerah di serata dunia antaranya, Kereta Terbaik Jerman, Norway dan UK, Anugerah EV Top Gear Terbaik dan Anugerah ECOBEST Autobest.