Helmi Tekad Gegar ARRC Bersama Jentera CBR600RR

Mohd Helmi Azman sedia bawa cabaran Musashi Boon Siew Honda Racing bersama jentera baharu, Honda CBR600RR bagi saingan Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) musim ini.

Meskipun saingan ARRC merupakan cabaran baharu buat penunggang muda itu namun juara Underbone 150cc 2018 itu sudah tidak sabar untuk kembali ke litar selepas dinaikkan ‘pangkat’ ke kelas SuperSports 600cc.

Helmi tekad gegar ARRC bersama jentera CBR600RR.

Diberi kepercayaan bersama rakan sepasukan, Azroy Hakeem Anuar, Helmi bakal turun buat kali pertama menjelang sesi latihan pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang, esok.

“Saya sudah tidak sabar untuk ke litar. Bekerja bersama rakan sepasukan yang baharu dan jentera yang lebih pantas sudah tentu memberikan cabaran berbeza kepada saya.

“Walaupun kali pertama beraksi dalam kelas SuperSports 600cc di ARRC, namun saya berpengalaman beraksi dalam pelbagai kejuaraan tempatan dengan jentera Honda ini. Saya yakin dapat menyesuaikan diri dengan segera ditambah dengan bantuan Azroy yang telah beraksi dalam kategori ini pada musim lepas.”

“Tentang pencabar pula, ada diantara mereka yang lebih berpengalaman dalam kategori ini namun saya yakin dapat memberikan cabaran yang terbaik,”jelasnya.

Saingan SuperSports 600cc ARRC musim 2019 menyaksikan persaingan diantara pelumba muda Asia setelah pelumba-pelumba lebih berpengalaman kini beraksi dalam kategori Asia Superbike 1000cc.

Antara barisan pelumba muda negara yang bakal mewarnai cabaran SuperSports 600cc termasuk Md Ramdan Mohd Rosli, Muhammad Adam Mohd Norrodin, Kasma Daniel Kasmayuddin, Fakhrusy Syakirin Rostam dan Ahmad Afif Amran.

Jangan lupa ikuti kami di Facebook dan Instagram

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]