BMW Motorrad Patenkan Pengurut Punggung

  • BMW Motorrad telah memfailkan paten untuk pengurut punggung bagi pelana motosikal.
  • Sistem ini pasti akan dapat membantu penunggang motosikal yang menunggang pada jarak yang jauh.
  • Harapannya, ia dapat mengurangkan ketidakselesaan dan gangguan yang datang dengan punggung yang kebas.

Pernahkah anda terasa seperti punggung anda mencucuk-cucuk sewaktu anda menunggang pada jarak yang jauh? Anda terbayangkan kerusi Ogawa anda yang ada di rumah? Kini, BMW Motorrad telah memfailkan paten untuk sebuah pelana pengurut punggung.

Dalam sebuah lakaran paten yang telah disiarkan oleh Australian Motorcycle News, sistem pengurut punggung itu tampak elegan dalam keringkasannya. Di bawah pelapik pelana adalah sebuah motor elektrik yang memutar engkol dengan ‘lobe’ yang tampak saling tidak tumpah seperti aci engkol enjin.

Lakaran paten pengurut punggung BMW – Sumber imej: AMCN

Penunggang motosikal touring (seperti kami) sudah pasti amat mengalu-alukan pilihan ini kerana kami sering mengalami kesakitan dan juga kekebasan setelah menunggang berjam lamanya. Harap-harapnya, dengan adanya pengurut ini, kami tidak perlu lagi berdiri dan mengurut punggung kami ketika menunggang di atas lebuhraya.

Kerusi kenderaan dengan pengurut bukannya sesuatu yang baharu. Malah, kebanyakan kereta dan juga kerusi trak ada ciri ini, termasuklah kereta BMW. Jadi, seiring dengan kebiasaan BMW yang menerapkan fungsi-fungsi kereta mereka kepada motosikal, pengeluar tersebut mungkin sekali akan menawarkan pilihan ini dengan motosikal mereka.

Kini, daripada perlu menunggang pada jarak jauh untuk pergi mengurut, anda boleh bawa pengurut bersama anda. Kerusi Ogawa dan Gintell yang di rumah pun barang kali boleh dilupakan selepas ini.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]