Aprilia Dan Gulf Bekerjasama Bagi Menghadapi MotoGP 2019

  • Aprilia dan Gulf telah mengumumkan kerjasama mereka bagi menghadapi MotoGP musim 2019.
  • Kedua-dua belah pihak mengalu-alukan kerjasama baharu ini.
  • MotoGP musim 2019 akan bermula pada 10 Mac 2019.

Aprilia dan Gulf telah mengumumkan kerjasama mereka dalam MotoGP.

Kedudukan Aprilia dalam kejohanan perlumbaan motosikal premier semakin kukuh sejak dua musim yang lalu; para penunggangnya tidak lagi sekadar menghuni grid belakang atau pertengahan. Pengeluar yang beribu pejabat di Noale itu telah menyertai kejohanan MotoGP setelah bertahun lamanya mendominasi kejohanan dunia 125cc dan 250cc. Mereka juga pernah menyertai kejohanan dunia 500cc.

Gulf pula adalah satu nama yang tidak asing lagi dalam kancah perlumbaan automotif. Sering kali telah kita lihat pengeluar terkemuka seperti Porsche dan Aston Martin lengkap dengan kemasan grafik berwarna biru muda dan jingga Gulf yang tersohor itu sejak berdekad lamanya.

Walaupun jenama Gulf ini tidak begitu dikenali di Malaysia, mereka sebenarnya merupakan salah sebuah jenama petroleum terbesar dunia. Antara produk keluaran mereka adalah bahanapi dan juga minyak pelincir yang digunakan secara meluas dalam bidang automotif dan juga perindustrian.

“Peluang untuk menyertai MotoGP, sebagai penaja utama Aprilia Racing adalah langkah tepat selepas kejohanan World Superbike”, ujar Naib Presiden Antarabangsa Gulf, Frank Rutten. “Aprilia adalah salah sebuah jenama perlumbaan yang paling berjaya sepanjang zaman, manakala Gulf pula, memiliki sejarah yang gemilang dalam sukan permotoran. Menyertai perlumbaan Grand Prix dengan pengeluar yang kami sedia maklum setanding dengan prinsip kualiti, ketahanan, dan semangat serta keinginan kami untuk terus maju ke hadapan adalah satu langkah yang tepat.”

“Kami berasa amat gembira dapat memeterai kerjasama baharu dengan Gulf,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia Racing, Massimo Rivola. “Ianya sebuah jenama yang ikonik dengan rangkaian produk yang mengagumkan dan sejarah perlumbaan yang hebat. Kami tidak sabar untuk menulis bab baharu dalam sejarah tersebut dalam tahun-tahun yang akan datang. Saya berasa amat gembira kerana dapat bekerjasama dengan Gulf untuk kempen MotoGP kami yang akan datang dan ianya pasti mengujakan untuk menyaksikan kedua-dua jenama hebat ini bergerak ke hadapan bersama-sama.”

Piaggio Group – yang mana Aprilia Racing adalah jenama teknikal utamanya – adalah salah sebuah pengeluar motosikal terbesar dunia, dengan lebih daripada 550,000 buah motosikal dari pelbagai jenama yang dijual pada setiap tahun, antaranya Vespa, Gilera, Moto Guzzi, serta Piaggio.

Minyak pelincir Gulf Motorcycle meliputi ke semua jenis motosikal, dari skuter dan motosikal berkapasiti kecil, hingga ke rangkaian minyak pelincir khusus untuk motosikal superbike. Gulf sejak sekian lama telah menggunakan sukan permotoran sebagai medan untuk membangunkan dan menguji produk baharu mereka. Langkah menyertai MotoGP bersama Aprilia Racing ini menandakan langkah hadapan ke arah produk motosikal berteknologi lebih baik dari Gulf, di mana ia mensasarkan untuk menakluki pasaran baharu yang sedang berkembang di samping mengukuhkan lagi kedudukannya dalam pasaran yang sedia ada.

Aprilia memberikan tumpuan penuh kepada pembangunan MotoGP bagi tahun 2019, dalam usaha untuk menjadi lebih berdaya saing di atas grid MotoGP. Bagi memenuhi matlamat ini, pada bulan Januari yang lalu, Piaggio telah mendapatkan khidmat bekas Pengarah Sukan Ferrari, Massimo Rivola, bagi mengetuai Aprilia Racing. Dengan adanya dua ketua kru yang baharu dan dibarisi penunggang dari Itali yang berbakat Andrea Iannone, penunggang kelahiran Sepanyol Aleix Espargaro, dan penunggang dari Britain, Bradley Smith, Aprilia telah menggunakan lebih banyak sumber berbanding sebelum ini dalam usaha untuk maju ke hadapan dalam kejohanan yang teramat berdaya saing ini.

Sesi ujian pra musim terakhir MotoGP baru sahaja berakhir semalam di Litar Antarabangsa Losail. Musim akan membuka tirainya di litar yang sama pada 10 Mac yang akan datang.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.