Video: Seorang Penunggang Motosikal Ditimpa Musibah Berganda

  • Seorang penunggang motosikal berbangsa India telah ditimpa musibah berganda dalam satu kemalangan jalan raya.
  • Ajaibnya, dia terselamat dari sebarang kecederaan yang serius dalam kemalangan tersebut.
  • Kemalangan berkenaan menunjukkan betapa pentingnya pemakaian helmet pada setiap masa.

Seorang penunggang motosikal telah ditimpa dengan satu musibah berganda dalam satu kemalangan jalan raya di India. Jika sebelum ini kita pernah mendengar pepatah yang berbunyi “Sudah jatuh ditimpa tangga”, mungkin kita boleh tambah satu pepatah baharu selepas ini.

Dalam satu rakaman CCTV yang telah dikongsi oleh laman sesawang Daily Mail UK, sebuah kereta berwarna putih telah berhenti di satu persimpangan sebelum berpusing ke kiri memasuki haluan penunggang motosikal berkenaan. Penunggang yang tidak bernasib baik itu kemudiannya telah merempuh bahagian hadapan kereta berkenaan, menyebabkan dia dan motosikal yang ditungganginya itu terbabas.

Motosikal tunggangannya itu kemudiannya telah merempuh sebuah tiang lampu. Sebaik sahaja penunggang tersebut mulai bangun semula, tiang lampu itu telah jatuh tepat-tepat atas kepalanya. Impak yang kedua ini telah merebahkan penunggang itu kembali.

Mujur sekali penunggang berkenaan telah terselamat dalam kecelakaan ini, dan ianya atas jasa helmet yang dipakainya itu.

Menurut Daily Mail UK, insiden ini telah berlaku di bandar Nagpur, wilayah Maharashtra, India.

Dalam setiap jam, nyawa lima belas penunggang dan pembonceng motosikal akan melayang akibat tidak memakai helmet ketika menunggang motosikal. Undang-undang jalan raya India telah mewajibkan pemakaian helmet sewaktu menunggang, namun, masih ramai yang tidak mematuhi undang-undang ini.

Kami di MotoMalaya sering kali mengingatkan dan menegaskan akan kepentingan pemakaian helmet pada setiap masa. Membelanjakan wang untuk mendapatkan helmet yang lebih baik adalah satu pelaburan yang bijak. Lebih baik memakainya pada setiap masa, daripada memerlukannya apabila sudah terlambat.

Sumber: Daily Mail UK

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.