Zontes Malaysia Bakal Melancarkan Empat Buah Model Pada 27 Februari

  • Zontes Malaysia telah mengesahkan pelancaran bagi empat buah model pada 27 Februari.
  • Model-model tersebut adalah ZT310-T, ZT310-R, ZT310-X, dan ZT310-X GP.
  • Keempat-empat model ini adalah motosikal ringan yang didatangkan lengkap dengan ciri-ciri motosikal berkapasiti tinggi.

Kami telah melaporkan sebelum ini akan kemungkinan bahawa jenama Zontes akan diperkenalkan di Malaysia. Kini, ianya telah disahkan.

Pengedar baharu ZONTES MALAYSIA akan melancarkan empat buah model baharu pada 27 Februari 2019. Acara pelancaran media tersebut akan diadakan di Subang, Selangor.

Empat buah model tersebut terdiri daripada ZT310-T, ZT310-R, ZT310-X dan ZT310-X GP. Tiada maklumat yang lebih terperinci mengenainya pada ketika ini, kecuali yang sedia ada pada laman sesawang Zontes. Namun, seperti kebanyakan pengeluar motosikal, keempat-empat model ini akan dibina berasaskan sebuah platform.

Spesifikasi teknikal asas:

  • Enjin satu silinder, suntikan bahanapi, empat injap, DOHC, sejukan cecair, 312cc.
  • Enjin tersebut mampu menghasilkan 35hp pada 9,500rpm, dan 30Nm tork pada 7,500rpm.
  • Sistem suntikan bahanapinya dikendalikan oleh Delphi, pengeluar sama yang menghasilkan sistem suntikan bahanapi untuk Harley-Davidson, dan juga pengeluar yang lain-lain.
  • Menggunakan kerangka tiub keluli.
  • Suspensi hadapannya dikendalikan oleh fork terbalik, dan penyerap hentakan tunggal untuk bahagian belakang.
  • Sistem ABS yang dibekalkan oleh Bosch.
  • Lampu LED keseluruhan.
  • Penghadang angin boleh laras secara elektrik (bagi model yang didatangkan dengan penghadang angin).

Mari kita tengok varian-variannya pula:

Zontes ZT310-T

Model ZT310-T kelihatan seperti sebuah motosikal adventure-tourer, dilengkapi dengan palang pemegang yang tinggi dan penghadang angin yang besar. Ia juga seperti didatangkan dengan palang perlindungan kemalangan di bahagian hadapan dan rak bagasi besar pada bahagian belakangnya.

Zontes ZT310-R

Model ZT310-R adalah sebuah motosikal lumba ‘naked’. Sekilas pandang, rupa parasnya tampak seperti model Kawasaki Z900 dan Suzuki GSX-S750/GSX-S1000, namun, ia pasti tampil dengan ciri-ciri tersendirinya nanti. Ciri yang paling menyerlah adalah bahagian ekornya yang kemas. Lampu belakang dan lampu isyarat belakangnya telah diterapkan dalam ekornya.

Zontes ZT310-X

Model ZT310-X ini tidak syak lagi sebuah motosikal sport-tourer reraup penuh. Palang pemegangnya telah ditetapkan di atas ‘riser’ dan ia juga dilengkapi dengan penghadang angin yang boleh dilaras secara elektrik. Ia juga tampak lebih ‘sporty’ dengan pelana bertingkat di mana penunggang duduk lebih rendah dan pembonceng duduk lebih tinggi.

Zontes ZT310-X GP

Model ini tidak disenaraikan dalam laman sesawang Zontes. Tekaan kami ianya varian yang lebih ‘sporty’ bagi model X. Ianya akan disahkan sewaktu pelancarannya nanti.

Teruskan bersama kami di mana kami akan bawakan acara pelancaran Zontes ini. Jenama ini pasti memeriahkan lagi segmen di bawah 350cc.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply