Artikel asal oleh Wahid Ooi Abdullah untuk laman Bikesrepublic.com
- Sebahagian daripada laluan motosikal yang ada di Lebuhraya Persekutuan kini telah dibuka.
- Kami mengambil peluang ini untuk memeriksa laluan dari PPUM ke Midvalley.
- Ternyata ianya masih lagi merbahaya dan bagai melepaskan batuk di tangga.
Sebut sahaja “laluan motosikal”, ia sudah pasti cukup untuk mencetuskan perdebatan yang hangat antara para pengguna jalan raya. Kami memutuskan untuk berkongsi salah sebuah video yang telah kami rakam sewaktu kami menunggang menyusuri laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan dari PPUM menuju ke persimpangan Jalan Cheras.
Penulis selalunya menggunakan lebuhraya New Pantai Expressway dari Seksyen 13, Petaling Jaya, menuju ke rumah di Bukit Jalil. Ianya lebih jauh, namun, penulis menggunakan laluan ini kerana adanya beberapa buah selekoh yang cukup menyeronokkan pada laluan lebuhraya ini.
Seksyen ini telah ditutup buat beberapa lama untuk kerja-kerja membaiki jalan dan kini ianya telah dibuka semula. Jalan masuk ke laluan motosikal ini cukup mudah untuk dijumpai. Dari situ, ia menuju terus ke Kuala Lumpur. Permukaannya kini jauh lebih rata berbanding sebelum ini. Anda masih boleh rasa bonggolannya, tetapi ianya tidaklah seteruk dahulu.
Bagaimana pun, laluannya masih lagi sempit dan ‘dibahagikan’ kepada dua oleh garisan putus-putus, bermakna penunggang dibenarkan memintas di sini. Selekohnya kekal ada, begitu juga dengan titik-titik bahayanya.
1. Jalan keluar KL – Pantai Baharu
Jalan keluarnya berada betul-betul di bawah sebuah seksyen jambatan lebuhraya NPE. Oleh kerana itu, bahagian tersebut agak gelap. Memburukkan lagi keadaan, jalan keluarnya betul-betul selepas sebuah selekoh kanan, manakala jalan menuju ke KL berputar ke arah kiri seperti sebuah selekoh S. Risiko pelanggaran antara motosikal amat tinggi di sini.
2. Terowong keluar bersebelahan Plaza Pantai
Pada ketika mata penunggang cuba menyesuaikan semula dengan keterangan cahaya, suspensi motosikal akan tiba-tiba mendekam. Ini pasti akan mengejutkan sesetengah penunggang yang tidak biasa dengan laluan ini dan boleh menyebabkan mereka hilang kawalan. Penunggang tidak boleh melakukan sedikit pun kesilapan di sini kerana di sebelah kiri dan kanan laluan terdapat penghadang besi.
3. Jalan keluar KL – Cheras
Jalan keluar ini telah wujud berdekad lamanya. Ianya amat merbahaya kerana bahagian ini amat sempit dan di bawah bukit.
Pihak berkuasa telah menutup jalan keluar ini, tetapi, ada yang telah mengalihkan penghadang konkritnya. Oleh kerana saya tidak menunggang laluan ini buat sekian lama, saya memasuki jalan keluar ini tanpa menyedari bahawa tiada jalan keluar menuju ke Jalan Cheras. Sekarang baru penulis mengerti mengapa ianya ditutup, kerana ianya tepat di mana kenderaan mulai memecut setelah menuruni selekoh turun bukit.
Beberapa buah blok konkrit telah dialihkan bagi membuka laluan. Motosikal yang lebih kecil boleh muat melaluinya. Tetapi penulis memutuskan untuk tidak keluar di sini kerana ianya tindakan yang merbahaya dan juga menyalahi undang-undang.
3. Taman Desa
Penulis buat pusingan U dan menuju ke KL di mana ada satu lagi jalan keluar di jalan Kelang Lama, Cheras, dan Seremban. Keluar dari terowong, laluan sebelah kiri ditutup, memaksa kami untuk berkongsi laluan dengan kenderaan lain yang menghala ke arah kami.
Tiada jalan keluar lain ke Jalan Cheras kecuali dengan menunggang menerusi bahagian dalam Taman Desa. Di sinilah penulis telah terserempak dengan pemandu kereta yang melanggar lampu isyarat merah betul-betul di hadapan penulis.
Pada waktu ini, penulis sudah mulai menyesal dengan keputusan penulis untuk menunggang laluan ini. Tetapi, masih ada satu lagi kelecehan yang menunggu. Rupa-rupanya, tiada laluan untuk menuju ke Cheras setelah turun dari jambatan dari Taman Desa. Sebaliknya, penulis terpaksa memasuki Lebuhraya KL – Seremban bagi membolehkan diri memasuki Lebuhraya MEX. Tidak menjadi masalah kerana penulis tinggal di Bukit Jalil, tetapi, bagaimana pula bagi mereka yang tinggal di Cheras, Kajang, Semenyih, dan selanjutnya?
Kesimpulan
Kami menaruh harapan yang tinggi sewaktu pihak berkuasa mengumumkan projek untuk mengubahsuai laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, tetapi ianya menyebabkan lebih banyak kesusahan kepada penunggang motosikal, dan masih ada banyak lagi laluan motosikal, yang atas sebab-sebab yang tidak diketahui, kekal ditutup. Ingin kami jelaskan di sini: kami tidak menyokong tindakan penunggang motosikal yang mengingkari undang-undang jalan raya, namun, apa yang boleh mereka lakukan bila mereka berdepan dengan kesusahan dan bahaya-bahaya seperti ini?
Kami berharap yang pihak berkuasa dapat membuat perancangan yang lebih teliti dalam pembinaan semula laluan motosikal ini kerana ianya telah direka pada tahun 50-an untuk basikal. Satu-satunya cara untuk menilai tahap keselamatan laluan ini, mereka sendiri perlu menunggang motosikal melaluinya.