Shell Eco-Marathon Asia kembali ke Malaysia untuk tahun ke-10!

Shell Malaysia akan menganjurkan Shell Eco-marathon Asia bagi tahun 2019 sempena program global ‘Make the Future Live’ mereka. Ini merupakan tahun ke-10 persaingan ini diadakan dan Malaysia telah dipilih sebagai hos bagi acara tersebut dimana ia akan diadakan di Sepang International Circuit (SIC) dari 29 April 2019 hingga 2 Mei 2019.

Apakah itu Shell Eco-marathon Asia? Lebih dari 100 pasukan dari seluruh Asia dan juga Timur Tengah akan dicabar dan duji dalam membina kenderaan model cekap tenaga dalam pertandingan Shell Eco-marathon Mileage Challenge. Cabaran mereka adalah untuk bergerak paling jauh dengan menggunakan jumlah tenaga yang paling sedikit.

Pada tahun lepas di Singapura, pasukan yang memenangi pertandingan ini berjaya bergerak sejauh 2,341km dengan hanya satu liter bahan api!

Tahun ini, enam pasukan dari Malaysia akan menyertai pertandingan ini yang berasal dari institute pengajian tinggi seperti Heriot-Watt University Malaysia, Monash University Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Tunku Abdul Rahman and Multimedia University.

Menurut Shanna Simmons, Pengarah Teknikal Global Shell Eco-marathon, “Setiap tahun, kita melihat peningkatan prestasi, serta semangat berpasukan di kalangan peserta pelajar di Shell Eco-marathon Asia. Litar Antarabangsa Sepang di Malaysia merupakan tempat yang sempurna untuk menyaksikan inovasi baru dalam reka bentuk kenderaan masa hadapan. Kami mengalu-alukan satu lagi tahun yang menarik di Shell Eco-marathon Asia!”

Untuk maklumat lanjut tentang Shell Eco-marathon Asia 2019, layari www.shell.com/make-the-future/shell-ecomarathon/asia.html.