- Kita sudah sedia maklum bahawa model Lightning LS-218 adalah motosikal jalan raya terpantas pada ketika ini.
- Namun, berapa pantaskah dapat ia mencecah kelajuan tertingginya?
- Saksikan video ini di mana Lightning Motorcycles telah menguji sebuah LS-218 pada sebuah dyno.
Kami telah mengatakannya sebelum ini dan kami akan katakannya sekali lagi: Motosikal elektrik moden amat pantas sekali! Ianya mampu menghasilkan begitu banyak daya kilas serta merta yang pastinya akan membuatkan mana-mana penunggang MotoGP tersenyum lebar. Fakta ini amat benar sekali, terutamanya pada model Lightning LS-218.
Kami pernah menulis mengenai motosikal yang menakjubkan ini sebelum ini (sila TEKAN SINI untuk membaca semula artikel berkenaan). Sebagai ingatan semula, model ini adalah motosikal pengeluaran sah untuk digunakan atas jalan raya terpantas dunia. Nombor “218” pada namanya itu merupakan kelajuan yang telah dicecahnya di atas Pamah Garam Bonneville, iaitu 218 batu sejam (350.8km/j).
Ia juga telah memegang rekod kelajuan bagi “Pikes Peak International Hill Climb” sejak tahun 2012 dan hanya telah diatasi pada tahun lalu oleh sebuah KTM 1290 Super Duke R. Bagaimana pun, model Lightning ini masih memegang rekod sebagai motosikal elektrik terpantas mendaki gunung yang mencabar itu.
Kelajuannya itu adalah hasil daya kilas motor elektrik motosikal berkenaan. Dan itulah yang ingin dipamerkan oleh Lightning Motorcycles dalam video di bawah ini.
Lightning LS-218 pre-delivery dyno tuning at 160+ mph #LightningMotorcycles #Lightning #LS218 #ElectricMotorcycle #Superbike #Dyno pic.twitter.com/STREf7T9Na
— Lightning Motorcycle (@LightningMotorc) February 2, 2019
Model LS-218 berkenaan telah diuji di atas sebuah dyno. Penggeleknya berpusing sebelum tugas tersebut diambil alih oleh motor elektrik motosikal berkenaan, mencapai kelajuan sehingga 257km/j (160bsj) dalam masa beberapa saat. Dan bukan setakat itu sahaja, yang lebih menakjubkan adalah kebolehan motosikal ini untuk memecut dari 160 ke 241km/ (100 ke 150bsj) dalam tempoh dua saat!
Itu pun, pengeluarnya tidak memulas penuh pendikitnya dari mula. Matt Schulwitz dari Lightning Motorcycles telah memberitahu Electrek bahawa tayar motosikal LS-218 akan hanya berpusing di atas penggelek dyno sekiranya mereka memulas penuh pendikit dari kedudukan pegun. Itulah kebolehan 228Nm tork. Atas sebab itulah mereka memusing dyno dahulu dan bukannya membiarkan kuasa motosikal berkenaan memutarnya.
Ini bermakna motor elektriknya akan memecut dan terus memecut tanpa sebarang masalah di sepanjang julat kitarannya. Lightning Motorcycles dijangka akan memperkenalkan model mampu milik pada bulan Mac 2019.