MotoGP 2019: Jentera KTM RC16 Hafizh Syahrin Secara Lebih Terperinci

  • Kami telah berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat jentera KTM RC16 yang akan dikemudi oleh Hafizh Syahrin untuk MotoGP musim 2019.
  • Sebahagian besar motosikal tersebut terselindung di sebalik panel badan yang tertutup kemas.
  • Namun begitu, ada beberapa perincian yang telah berjaya mencuri perhatian kami.

Anda pasti telah menyedari motosikal KTM RC16 yang turut tampil bersama Hafizh Syahrin sewaktu sidang akhbar semalam. Benar, itulah jentera yang akan ditunggangi Hafizh bagi MotoGP musim 2019.

Kita telah menyaksikan hampir ke semua jentera MotoGP dengan dekat sebelum ini dan telah biasa dengannya. Tetapi, ada beberapa ciri yang agak menarik pada jentera KTM RC16 ini yang tidak didapati pada motosikal MotoGP yang lain.

WP Suspension

Hampir ke semua motosikal (termasuklah dalam Moto2 dan Moto3) yang ada di paddock menggunakan suspensi Öhlins. WP Suspension adalah sebuah syarikat Belanda yang telah ditubuhkan pada tahun 1978, tetapi kini dimiliki sepenuhnya oleh KTM. Inilah sebabnya mengapa ke semua motosikal kegunaan jalan raya mahu pun untuk ‘off-road’ keluaran KTM menggunakan suspensi WP Suspensions.

Penggunaan jenama suspensi berkenaan juga boleh dilihat pada pasukan pengilang KTM dalam kejohanan Moto2 dan juga Moto3, jadi, semestinya ia juga akan digunakan dalam MotoGP.

Hafizh telah menyatakan sewaktu sidang akhbar tersebut yang di perlu menyesuaikan diri dengan suspensi baharu itu. Ini kerana dia telah menunggang jentera dengan suspensi Öhlins buat sekian lama.

Lihat sahajalah saiz cakera itu!

Salah seorang pengikut laman Instagram laman saudara kami, Bikesrepublic.com, telah memuatnaik komen ini, “Whoa, tengok sahajalah saiz cakera brek hadapannya itu!”

Benar katanya itu, cakera brek berkenaan adalah cakera brek karbon 340mm. Ianya akan digunakan untuk sejumlah kecil litar perlumbaan dalam kalendar MotoGP, seperti Motegi. Motegi digelar sebagai sebuah “stop-start track” di mana terdapatnya laluan lurus yang panjang disusuli dengan zon pembrekan keras dan kemudiannya oleh selekoh.

Menambahkan saiz cakera ini bukannya bermakna bertambahnya daya henti motosikal. Ini kerana cakera brek standard 320mm sudah cukup untuk menjana daya yang cukup untuk bukan sahaja menghentikan motosikal, malah mengangkat roda belakang motosikal.

Sebaliknya, penambahan diameter itu adalah untuk tujuan penyejukan, supaya cakeranya tidak menjadi terlalu panas.

Begitulah evolusi perlumbaan. Sewaktu cakera brek karbon mula diperkenalkan atas grid pada suatu masa yang lalu, para penunggang terpaksa mencengkam brek mereka pada permulaan perlumbaan bagi menambah dan mengekalkan haba pada cakera. Kini, ianya boleh sampai terlalu panas!

Tunjukkan tulang belakangmu

Ke semua motosikal kegunaan jalan raya KTM menggunakan kerangka keluli trellis, jadi, KTM memutuskan untuk menggunakan bahan yang paling mereka mahir sekali dalam jentera RC16. Malah, motosikal Moto2 dan Moto3 juga turut menggunakan atur cara trellis.

Anda boleh nampak palang pengikat kerangka atas berwarna oren yang menonjol keluar dari atas reraup, selain daripada ‘downtube’ yang memegang bahagian lengan ayun.

Ke semua bahagian yang lain kemudiannya dipasang pada kerangka ini. Bahagian pelana dan ekornya bukan sahaja untuk diduduki oleh penunggang, tetapi juga untuk sebahagian besar tangki bahanapinya. Ya, benar, tangki bahanapi MotoGP sebenarnya bermula di belakang di mana terletaknya tangki bahanapi biasa dan melunjur ke bawah pelana penunggang. Bahagian hadapan ‘tangki’ merumahkan lohong udara dan kelengkapan elektronik

Ekzos

Ekzos pada jentera RC16 ini sudah semestinya tampak seperti biasa dilihat oleh para peminat MotoGP. Aturcaranya hampir sama, kalau tidak serupa, seperti yang ada pada jentera Honda RC213V.

Motosikal RC16 ini juga sebuah jentera V-Four. Dan dengan itu, pasangan hadapan silinder mengeluarkan wasap melalui paip belah bawah, manakala pasangan yang belakang mengeluarkan wasap melalui paip yang diletakkan tinggi di bawah pelana.

Kokpit Hafizh

Kokpit motosikal ini bersih sekali, seperti yang sepatutnya.

Perhatikan apit bertiga belah atas yang dicanai dari billet itu. Apit ini melengkung balik ke bawah pada bahagian hujungnya bagi menetapkan garisan tengah fork dengan lebih dekat dengan garisan tengah ‘headstock’. Dengan ini ianya akan mengurangkan ‘trail’ motosikal ini, menjadikannya lebih pantas memasuki selekoh.

Mungkin sekali ada apit bertiga yang lain juga dengan aturcara berlainan bagi memberi kesan pada ‘trail’ atau pun sudut ‘rake’ pada bahagian hadapan.

Pasukan KTM akan mengadakan ujian pemanas badan merek untuk tiga hari yang berikutnya, bermula dengan hari ini di Litar Antarabangsa Sepang.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]