-
Pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team telah dilancarkan hari ini.
-
Ianya merupakan pasukan MotoGP pertama dari Malaysia dan juga bagi rantau Asia Tenggara.
-
Penunggang pasukan ini terdiri daripada Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo.
PETRONAS akan menampilkan sebuah pasukan dalam kejohanan Moto3, Moto2, dan MotoGP bagi musim 2019. Pasukan MotoGP berkenaan akan dikenali secara rasminya dengan nama PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (PETRONAS Yamaha SRT), manakala pasukan Moto3 dan Moto2 akan dikenali sebagai PETRONAS Sprinta Racing Team (PETRONAS SRT).
PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team – MotoGP
Ianya bagaikan sebuah kisah yang amat menakjubkan, kerana pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (PETRONAS Yamaha SRT) tidak pun wujud enam bulan sebelum Disember 2018. Bagaimana pun, penunggang pasukan ini, Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo berjaya menyertai ujian pasca musim pada bulan Disember, yang pertama di Valencia dan berikutnya di Jerez.
Ianya bermula sewaktu Grand Prix Sepanyol 2018 pada awal bulan Mei. Dato’ Ahmad Razlan Razali, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Ketua Pasukan telah mendengar khabar angin mengenai dua slot kosong untuk grid 2019. Dia kemudiannya menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Dorna, Carmelo Ezpeleta dan Pengarah Sukan Dorna, Carlos Ezpeleta dengan segera. “Dari ketika itu saya telah menghubungi PETRONAS dan mengajukan cabaran besar ini kepada mereka, dan seiringan dengan Litar Antarabangsa Sepang, mereka dengan serta merta telah menunjukkan minat yang hebat dalam mengorak langkah ke hadapan dengan impian MotoGP ini,” terang Dato’ Razlan.
Kerjasama antara PETRONAS dan SIC bermula pada musim lalu dalam kejohanan Moto2 dan Moto3. Pasukan PETRONAS Yamaha SRT ini diketuai oleh Johan Stigefelt sebagai Pengarah Pasukan dan Wilco Zeelenberg sebagai Pengurus Pasukan. Kedua-dua mereka telah memainkan peranan yang penting dalam membangunkan pasukan MotoGP yang lengkap ini.
Franco Morbidelli
Morbidelli sedar akan cabaran hebat yang menantinya, walaupun setelah mencatatkan masa pusingan yang memberangsangkan sewaktu ujian yang telah meletakkannya dalam kedudukan 10 Teratas. Sebagai Juara Moto2 2017 dan “Rookie of the Year” MotoGP 2018, ianya cabaran yang amat dialukan.
Penunggang kelahiran Itali itu mula menyertai perlumbaan tempatan sebelum berpindah ke kejohanan “European Superstock 600” pada tahun 2013, pada usia 15 tahun. Dia kemudiannya telah menjadi anak murid pertama dalam Akademi VR46.
Dia berjaya memperoleh satu tempat dalam Moto2 pada tahun 2014 dan berjaya menaiki podium buat kali pertama di Grand Prix Indianapolis pada tahun yang berikutnya. Bagaimana pun, satu kemalangan yang telah dialaminya pada masa yang kemudian telah menyebabkan kecederaan pada tulang fibia dan tibulanya, memaksanya untuk berehat selama empat pusingan perlumbaan dan memusnahkan musimnya itu.
Franco berpindah pasukan pada tahun 2016 dan kembali berbisa dengan mengutip lapan lagi penamat podium. Dia menamatkan musim di tempat ke-empat keseluruhan. Dia kemudiannya menunjukkan dominasinya dalam kategori tersebut dengan memenangi lapan buah perlumbaan pada tahun 2017, sebelum berpindah ke kelas MotoGP pada tahun lalu.
“Saya pernah datang ke KLCC sebelum ini dan ia sentiasa mengagumkan saya. Untuk mengadakan peragaannya di sini, untuk melihat warna pada jentera Yamaha saya buat kali pertama dan menikmati saat ini dengan warga Malaysia adalah cukup hebat sekali. Ini adalah satu hari yang hebat buat PETRONAS Yamaha SRT! Saya suka keadaan motosikal ini sekarang dan juga rupa keseluruhan sut perlumbaan dan helmet. Saya tidak sabar untuk menampilkannya buat kali pertama pada minggu hadapan dalam ujian pertama di Litar Antarabangsa Sepang. Kami semua masih ada banyak tugas yang perlu dilaksanakan jadi saya tidak sabar untuk menunggang kembali motosikal tersebut dan menyertai semula pasukan untuk meneruskan persediaan dan pembangunan kami bagi permulaan musim di Qatar.”
Fabio Quartararo
Penunggang dari Perancis, Fabio Quartararo, adalah seorang penunggang dengan bakat yang sejati. Dia telah memenangi kejohanan FIM CEV Moto3 2013 sewaktu musim sulungnya, pada umur 14 tahun. Dia telah mempertahankan kejuaraannya itu pada tahun yang berikutnya dengan mendominasi sepenuhnya kejohanan berkenaan apabila dia mencatatkan penamat podium pada setiap perlumbaan, termasuklah sembilan kemenangan daripada sebelas perlumbaan.
Keputusan tersebut bermakna dia menjadi rebutan ramai untuk Moto3, yang mana telah dia sertai pada tahun 2015 setelah FIM menurunkan had umur minimum. Fabio berjaya mendapat dua petak pertama setelah lima perlumbaan, dengan satu penamat atas podium.
Dia kemudiannya berpindah ke Moto2 pada tahun 2017, tetapi, ianya ternyata satu perubahan yang besar untuknya. Walaupun dengan kesukaran itu, dia telah berjaya memenangi perlumbaan Moto2 Catalunya pada tahun 2018, diikuti dengan podium di Assen. Dia menamatkan musim di tempat ke-sepuluh keseluruhan.
“Saya berasa amat teruja dapat memperagakan reka bentuk baharu jentera ini dan mempersembahkan keseluruhan pasukan di Malaysia ini. Saya amat menyukainya! Kini, saya amat teruja dapat mengemudi semula jentera ini di Litar Antarabangsa Sepang dalam ujian tiga hari yang akan datang. Saya berasa gembira untuk memulakan musim baharu di sana kerana ianya salah sebuah litar kegemaran saya. Kami akan mencuba sebaik mungkin untuk mempelajari sebanyak yang mampu. Kami ada enam hari ujian sebelum perlumbaan pertama di Qatar, jadi saya akan memberikan sepenuh usaha untuk bersiap sedia bagi Grand Prix pembuka. Matlamat mana-mana penunggang dari Moto2 adalah untuk menjadi “Rookie of the Year”, jadi, kami akan bekerja keras bagi mencapainya.”
PETRONAS Yamaha SRT akan beraksi di ujian pemanas badan pertama bermula 1 hingga 3 Februari, dan Ujian Pra Musim 2019 pertama pada 6 hingga 7 Februari. Kedua-dua ujian ini akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang.
PETRONAS Sprinta Racing Team – Moto2
Pasukan ini diwakili oleh seorang penunggang dalam Moto2, penunggang Malaysia, Khairul Idham Pawi.
Pawi telah mengharumkan nama negara dan mengejutkan dunia apabila dia memenangi perlumbaan pertamanya di Argentina, diikuti dengan kemenangan keduanya di Jerman dalam musim pertamanya dalam Moto3 2016. Dia kemudiannya telah berpindah ke Moto2 pada tahun 2017 di mana dia telah berlumba untuk satu lagi musim pada tahun 2018. Bagi tahun 2019, Pawi akan menyertai pasukan PETRONAS Sprinta Racing Team.
“Ini adalah peragaan impian; bagi saya ianya sesuatu yang menakjubkan dapat memperkenalkan kemasan warna baharu pasukan di Kuala Lumpur, tanah air saya, kerana saya tidak pernah melakukan apa-apa pun seperti ini, di sini, sebelum ini. Melihat ramai orang yang hadir di Menara Berkembar PETRONAS ini cukup mengujakan. Saya amat suka dengan jentera baharu yang telah dibangunkan oleh pasukan untuk musim 2019 dan saya tidak sabar untuk kembali beraksi.”
PETRONAS Sprinta Racing Team – Moto3
Moto3 tidak dapat dinafikan lagi merupakan kejohanan dunia paling sengit dipertandingkan antara ketiga-tiga kelas perlumbaan. PETRONAS Sprinta Racing Team akan menampilkan dua orang penunggang bagi tahun 2019. Ayumu Sasaki akan kekal bersama pasukan ini dan disertai oleh penunggang baharu, John McPhee.
Ayumu Sasaki
Sasaki telah menimba pengalamannya dalam pelbagai kejohanan Jepun yang teramat berdaya saing sebelum memenangi kejohanan “All-Japan Championship 2011”. Dia kemudiannya berpindah ke kejohanan “Asia Talent Cup” pada tahun 2014.
Dia mendapat tempat ke-empat pada musim pertamanya, sebelum berjaya merangkul kejohanan pada tahun 2015. Dia juga turut mendapat tempat ke-tiga keseluruhan dalam kejohanan “Red Bull MotoGP Rookies Cup” pada tahun yang sama, selain daripada membuat kemunculan pertamanya dalam siri perlumbaan FIM CEV. Dia telah memenangi kejohanan Red Bull dan mendapat tempat ke-tujuh dalam kejohanan “Junior World Championship” pada tahun 2016. Dia dengan serta merta diambil sebagai penunggang pengganti dalam Moto3 sewaktu pusingan MotoGP Malaysia pada tahun yang sama.
Sasaki berjaya mendapat tempat tetap dalam Moto3 pada tahun 2017 dengan pasukan SIC Racing Team, di mana dia telah bersaing dengan kelompok pendahulu dengan konsisten sepanjang tahun. Dia telah dianugerahkan dengan “Rookie of the Year.” Sasaki kekal berdaya saing pada tahun 2018, termasuklah mendapat dua tempat mula barisan hadapan.
“Ianya satu hari yang menakjubkan. Ianya cukup hebat sekali untuk dapat menghimpunkan kelima-lima penunggang pasukan di sini – ianya amat mengujakan. Saya turut menyukai rupa jentera kami, jadi kini saya ingin mengetahui kebolehannya atas litar! Saya tidak sabar untuk kembali mengemudi jentera berkenaan, bertemu kembali dengan kakitangan teknikal dan melakukan beberapa pusingan di atas litar SIC. Saya harap dapat memahami jentera kami secepat boleh dan mendapatkan kembali gaya menunggang saya setelah hampir tiga bulan tidak menunggang. Saya amat menanti-nantikan Ujian Sepang dan juga Jerez. Sasaran kami pada musim ini adalah amat tinggi. McPhee akan menjadi teman sepasukan terbaik yang boleh saya harapkan dan kami akan bersama-sama mencuba menjadi sepantas yang mungkin dan bersaing untuk menduduki podium apabila kami mampu.”
John McPhee
Penunggang dari Scotland, John McPhee adalah salah seorang penunggang yang pantas dalam Moto3, memanfaatkan keagresifan atas litarnya itu. Seperti Sasaki. McPhee telah memulakan kerjaya perlumbaannya pada usia yang muda, bertanding dalam pelbagai perlumbaan serta kejohanan di Scotland.
Walaupun dia tampak seperti telah muncul secara tiba-tiba dalam kancah Moto3 pada tahun 2015, dia telah pun bertanding dalam Kejohanan Dunia 125cc secara bersilih ganti antara tahun 2009 dan 2012. Dia telah berjaya mendapat tempat yang tetap dalam Moto3 pada tahun 2013 dan berjaya mendapat podium pertamanya di Indianapolis pada tahun 2015.
Dia mendapat tempat ke-tujuh keseluruhan pada tahun 2017, satu-satunya kedudukan 10 Teratas dalam kejohanan untuk dirinya, setakat ini. McPhee telah berjaya mendapat dua lagi penamat podium pada tahun lalu namun hanya berjaya mendapat tempat ke-dua belas keseluruhan. Pencapaiannya tidak syak lagi telah menambah pada pengalamannya yang akan dia bawa ke dalam pasukan PETRONAS Sprinta Racing Team.
“Ianya satu hari yang hebat di Kuala Lumpur. Mengadakan pelancaran PETRONAS Sepang Racing Team di Menara Berkembar PETRONAS adalah sesuatu yang amat istimewa. Kemasan grafik baharu tampak hebat dan kini saya berasa amat teruja untuk memulakan musim baharu. Kami akan menuju ke Litar Antarabangsa Sepang untuk memulakan musim baharu kami. Matlamat saya adalah untuk memanfaatkan sepenuhnya tiga hari yang berikutnya bagi memulakan musim kami sebaik mungkin. Kami ada satu tahun yang mengujakan di hadapan kami dengan pelbagai kemungkinan yang boleh dinantikan.”
PETRONAS
PETRONAS adalah veteran dalam sukan permotoran. Syarikat petroleum Malaysia ini telah terlibat dalam keseluruhan strata perlumbaan motosikal sama ada kejohanan Cub Prix Malaysia, ke Moto3, Moto2, dan kini MotoGP. Kerjasama mereka dalam Formula 1 telah membuahkan kejayaan yang hebat bersama Sauber dan kini dengan Pasukan Mercedes F1. Bersama Pasukan Mercedes F1, mereka telah merangkul kejohanan F1 sebanyak lima kali.
Seperti mana yang telah diujarkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin,” Pelibatan PETRONAS dalam sukan permotoran telah mencecah berdekad lamanya melalui penyertaan kami dalam Formula One dan MotoGP. Kerjasama ini menandakan kewujudan PETRONAS dalam keseluruhan spektrum perlumbaan motosikal, dari peringkat akar umbi dalam Cub Prix hinggalah ke perlumbaan antarabangsa Moto3, Moto2, dan MotoGP, mempertingkatkan lagi penjenamaan global kami dan juga kerjasama teknologi, terutamanya dalam bidang bahanapi dan minyak pelincir. Melalui “Fluid Technology Solution” PETRONAS, kami mensasarkan untuk memberikan sumbangan yang ketara kepada prestasi pasukan dengan membangun dan menguji formulasi produk yang telah dikhususkan bagi meningkatkan lagi tahap daya saingnya.”
Pengerusi PETRONAS, Datuk Ahmad Nizam Salleh telah merasmikan pelancaran pasukan ini beserta kemasan grafik bagi tahun 2019 di Dewan Filharmonik Malaysia di Menara Berkembar PETRONAS. Ia menempa sejarah sebagai pasukan MotoGP pertama dari Malaysia dan juga Asia Tenggara.