Fasiliti Pengecasan BMW i baharu dilancarkan di Bangsar Shopping Centre

BMW Group Malaysia telah mengorak langkah baru bagi permulaan tahun 2019 dengan melancarkan enam Fasiliti Pengecasan BMW i di Bangsar Shopping Centre. Sebagai salah satu peneraju di dalam arena e-mobiliti di Malaysia, ini merupakan satu langkah menarik dalam Visi Mobiliti BMW Group Malaysia di dalam negara.

Pengenalan fasiliti baharu ini menandakan satu langkah yang penting dalam inisiatif BMW Group Malaysia untuk memupuk peralihan negara Malaysia ke arah Mobiliti-Elektro. Ia juga merupakan susulan kepada Fastiliti-Fasiliti Pengecasan BMW i yang telah pun dibuka di Ramada Plaza oleh Wyndham Melaka, The Banjaran Hotsprings Retreat di Ipoh, Iconic Hotel di Pulau Pinang serta WEIL Hotel di Ipoh yang diperkenalkan pada tahun lalu.

Menurut Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, “Tahun 2018 merupakan tahun yang memberangsangkan bagi BMW Group di peringkat global dan kami telah mencerminkannya di sini dengan satu lagi rekod baharu untuk tahun yang kelapan secara berturut-turut dengan penyerahan 14,338 unit kenderaan.Ia melambangkan peningkatan sebanyak 13% dan angka ini merupakan yang tertinggi dalam segmen pasaran seumpamanya. Pencapaian ini juga memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pasaran utama di rantau ini bagi BMW Group, dan kami berbesar hati untuk menggarap kejayaan tersebut.”

Portfolio Mobiliti Bervisi yang diusulkan oleh BMW Group Malaysia merangkumi penyerahan yang berjumlah 57% unit kenderaan menerusi lebih dari 7,500 unit kenderaan Hibrid ‘Plug-in’ BMW dan MINI yang berjaya dimiliki oleh pelanggan baharu di seluruh Malaysia pada tahun 2018.

“Sebagai peneraju dalam pembekalan kenderaan berelektrik premium di negara ini, kami sentiasa berusaha untuk memacu daya inovasi, keupayaan pemasangan peringkat domestik, kesedaran terhadap teknologi yang baharu dan bersih bagi industri automotif, serta mengubah infrastruktur kenderaan premium di Malaysia. Kami mula mengikhtiarkan inisiatif-inisiatif ini bersama Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia) seawal tahun 2015 dan kami juga telah membangunkan beberapa projek dalam rangkaian pengedaran kami di seluruh negara,” tambah Hoelzl.

Portfolio Mobiliti Bervisi BMW Group Malaysia dengan kenderaan BMW iPerformance juga didukung oleh platform ChargEV melalui usaha samanya dengan GreenTech Malaysia. Perkhidmatan BMW ChargeNow yang ditawarkan menerusi program BMW 360° ELECTRIC juga memberikan akses kepada fasiliti-fasiliti pengecasan rakan kongsi yang lain seperti ChargEV, ia membolehkan pengguna menikmati bantuan dan akses 24/7 bagikesemua lokasi pengecasan yang terletak dalam rangkaian ChargEV yang kian berkembang di seluruh negara.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.