- Kami telah menyenaraikan satu panduan ringkas mengenal pasti simptom suspensi.
- Panduan mengenal pasti masalah lebih mudah diingati dan digunakan.
- Kami akhiri siri ini dengan redaman pemampatan.
Kami telah menyenaraikan satu panduan mengenal pasti masalah pelarasan pra muatan dan redaman lantunan sebelum ini. Untuk bahagian terakhir ini, kami akan cuba mengenal pasti masalah yang mungkin timbul pada redaman pemampatan.
Apa itu redaman pemampatan?
Sebagai ingatan semula, redaman pemampatan ini berlainan sama sekali daripada redaman lantunan. Ia mengawal betapa pantas roda bergerak ke atas sewaktu ia bertemu dengan bonggol di atas jalan raya.
Anggap sahaja redaman pemampatan ini seperti rintangan sewaktu pegas dihimpit.
Redaman pemampatan terlalu sedikit (hadapan)
- Bahagian hadapan mendekam secara keterlaluan ketika pembrekan.
- Mengalihkan berat motosikal ke roda hadapan sewaktu pembrekan menjadikan motosikal sukar dipusing atau menyebabkan palang pemegang bergoyang.
- Forknya boleh termampat habis dan terkena ‘bump stop’ apabila melanggar bonggol tajam.
- Bahagian belakang motosikal terasa seperti hendak terangkat apabila brek hadapan ditekan keras.
- Pemanduan arah terasa agak tidak menentu dan lembut (kekurangan maklum balas), mirip seperti redaman lantunan terlalu sedikit.
Redaman pemampatan terlalu banyak (hadapan)
- Fork terasa amat keras apabila roda melanggar bonggol.
- Setiap gegaran dan bonggol di atas jalan terasa terus pada casis dan penunggang. Bonggol besar boleh memesongkan terus roda dari jalan raya. (Sebaliknya, pemampatan terlalu sedikit akan menyebabkan roda bergerak ke atas sepenuhnya sebelum melonjakkan terus bahagian hadapan dari permukaan jalan.)
- Dalam sesetengah kes, boleh menyebabkan bahagian hadapan terasa tinggi.
- Di mana dekaman telah dikurangkan sewaktu pembrekan keras, roda hadapan boleh tertanggal sewaktu membrek di atas jalan raya yang tidak rata (kerana suspensi tidak menyerap bonggol).
Redaman pemampatan terlalu sedikit (belakang)
- Bahagian belakang cenderung untuk ‘melandut’ atau menjadi rapat sewaktu pemecutan, menyebabkan motosikal untuk bergerak dengan lebar (bahagian hadapan ditolak ke atas menyebabkan kekurangan cengkaman dari tayar hadapan).
- Terlanggar bonggol dan lubang pada kelajuan akan menyebabkan penyerap hentakan belakang untuk rapat habis.
- Imbangan casis menerima kesan yang melampau daripada lubang besar (sebagai contoh permukaan jalan yang mendap di Sungai Koyan.
- Pemanduan arah terasa sukar dan mengurangkan keyakinan.
Redaman pemampatan terlalu banyak (belakang)
- Tunggangan terasa kasar dan ianya semakin teruk semakin laju anda bergerak. Bagaimana pun, terlalu banyak redaman lantunan akan menyebabkan bahagian belakang terasa jauh lebih kasar.
- Terlalu banyak pemampatan akan menyebabkan tayar belakang untuk terlompat, terutamanya sewaktu nyahpecutan.
- Bonggol yang lebih besar akan menyebabkan bahagian belakang motosikal melompat tinggi, begitu juga dengan penunggang daripada pelananya.
Kesimpulan
Begitulah sedikit sebanyak panduan yang boleh kami kongsi.
Sentiasa tanda penetapan pengilang sebelum anda mula dan catatkannya. Sebagai contoh, pusing redaman pemampatan ke paling minimum dan kira berapa banyak klik yang perlu untuk sampai ke situ. Kemudian, pusingkannya ke tahap maksimum, dan catatkan jumlah kliknya. Akhir sekali, pusingkannya kembali pada posisi asal dan mula dari situ.
Nasihat kami adalah untuk melaraskan satu-satu parameter pada satu-satu masa, contohnya, mulakan dengan redaman lantunan sebelum ke redaman pemampatan. Melaraskan ke semua sekaligus akan mengelirukan anda.
Satu lagi nasihat kami, jangan laraskan ke aras maksimum, kecuali sekiranya anda benar-benar memerlukannya (sebagai contoh kerana fork yang berkualiti rendah). Mengurangkan sesuatu mungkin sekali akan memberikan anda lebih dari segi keseronokan.
Akhir sekali, tolong jangan anggap yang anda perlu menambah lebih pra muatan/pemampatan/lantunan hanya kerana anda menunggang dengan lebih laju. Anda boleh melakukannya di atas litar tetapi ianya tidak bermakna anda perlu melaraskannya sehingga ke tahap maksimum. Sebaliknya, laraskan apa yang perlu bagi membolehkan motosikal itu bekerja untuk anda, dan bukannya sebaliknya.